
KUALA LUMPUR: Pemelukan Islam bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun diperuntukkan di bawah undang-undang pentadbiran agama Islam yang digubal dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri-negeri.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.
Beliau memaklumakn demikian sebagai respons kepada cadangan yang dikemukakan oleh Senator Ir. Ts. Khairil Nizam supaya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dapat mempercepatkan usaha penyelarasan undang-undang Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi menyemak semula status agama kanak-kanak bukan Islam di bawah umur 18 tahun yang memasuki agama Islam.
Menurutnya, berdasarkan Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan hal perkara mengenai hal ehwal agama Islam adalah terletak di bawah kuasa negeri.
“Pada masa ini, perkara berkaitan dengan pemelukan Islam bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun diperuntukkan di bawah undang-undang pentadbiran agama Islam yang digubal dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri-negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam hal itu, jelasnya kerajaan mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan berhubung dengan keupayaan masuk Islam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri.
Tambahnya, walaupun semua undang-undang tersebut memperuntukkan berkenaan dengan keperluan mendapat keizinan daripada ibu bapa atau penjaga, peruntukan tersebut adalah berbeza berkenaan dengan kehendak sama ada perlu mendapat keizinan daripada kedua-dua ibu dan bapa atau keizinan salah seorang ibu atau bapa.
“Kerajaan sedang mengkaji keperluan bagi menyeragamkan peruntukan berkaitan dengan keupayaan masuk Islam bagi kanak-kanak di bawah 18 tahun,” katanya.
Bagi maksud tersebut, ujar beliau pihak berkuasa agama negeri-negeri akan dirundingi terlebih dahulu sebelum inisiatif selanjutnya dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 29/3/2022




















