
DEWAN Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak merafak sembah dan menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak di atas perkenan bagi pelaksanaan ketetapan baharu aktiviti masjid dan surau dalam fasa peralihan endemik Negeri Perak.
Sudah pasti seluruh rakyat melahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T malah lebih bermakna apabila dapat menyambut Ramadan 1443H dalam suasana solat tanpa jarak; tazkirah selepas solat witir serta program qiamullail, iktikaf, tadarus al-Quran, kuliah dan kelas pengajian dapat dilaksanakan.
DPPN Perak mengajak seluruh umat Islam untuk kembali mengimarahkan masjid dan surau khususnya dalam kawasan kediaman masing-masing dengan mendirikan solat fardu berjemaah, menghadiri majlis ilmu serta turut menyumbang harta dan tenaga.
Malah masjid dan surau menjadi pusat sehenti komuniti dalam mengukuhkan ukhuwah silaturahim sesama masyarakat termasuk mempelbagaikan aktiviti yang boleh menarik kehadiran anak muda ke rumah Allah S.W.T.
Marilah sama-sama kita berusaha menjadi Muslim dan Mukmin yang beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya agar dapat mengecapi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
“Memacu Perpaduan”
“Legasi Perjuangan”
Sekian, terima kasih
USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 25/3/2022











