Sultan Terengganu mahu rakyat bantu kerajaan

Sultan Mizan Zainal Abidin.
- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU: Rakyat disarankan agar dapat mengambil bahagian secara aktif dalam membantu kerajaan yang dipilih melalui proses pilihan raya secara demokrasi.

Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, rakyat harus mengambil bahagian secara aktif dalam membantu kerajaan yang dipilih, sama-sama memberi input dalam aspek tadbir urus, merangka dan melaksanakan dasar-dasar yang baik untuk rakyat.

“Sebagai sebuah negara demokrasi yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, Malaysia tidak pernah gagal mengadakan pilihan raya.

- Advertisement -

“Baik, apabila tiba tempoh yang ditetapkan menurut peruntukan perlembagaan ataupun apabila sesuatu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja atau Yang Di-Pertua Negeri masing-masing.

“Ini memberi ruang dan peluang kepada rakyat (pengundi) untuk memilih dengan menyertai proses demokrasi secara luhur dan terhormat.

“Namun partisipasi rakyat dalam demokrasi tidak semestinya dihadkan kepada peluang untuk memilih dalam pilihan raya, yang berlakunya mungkin dalam tempoh lima tahun sekali.

“Rakyat harus mengambil bahagian secara aktif dalam membantu kerajaan yang dipilih, sama-sama memberi input dalam aspek tadbir urus, merangka dan melaksanakan dasar-dasar yang baik untuk rakyat,” titah Tuanku Sultan Mizan.

Teks titah ucapan Tuanku Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 itu dibacakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Tuanku Sultan Mizan, meskipun telah ada wakil rakyat yang dilantik bagi membincang dan membahas enakmen negeri namun, partisipasi rakyat dalam menentukan halatuju negeri dan negara harus ditagih.

“Walaupun mereka telah melantik wakil-wakil mereka untuk berbincang dan membahaskan enakmen-enakmen negeri di dalam Dewan Undangan Negeri, namun dengan adanya prinsip langit terbuka, akses digital, pendedahan kepada pelbagai bentuk dan saluran maklumat, serta tahap pengetahuan rakyat itu sendiri yang tinggi tentang sesuatu isu berbangkit, maka partisipasi rakyat dalam menentukan hala tuju negeri dan negara harus ditagih.

“Ibarat kata pepatah, ‘seliang bagai tebu, serumpun bagai serai’, sekiranya kita saling bekerjasama dan berperanan dengan baik, insya-Allah, kejayaan juga yang bakal menanti,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah, dalam suasana muhibbah, terhormat dan bertamadun, proses membuat dasar sudah menjadi semakin demokratik. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -