Muslimat ziarah keluarga arwah Ustaz Fadhil Hasanuddin

- Advertisement -

SHAH ALAM: Skuad Prihatin Muslimat PAS Malaysia telah menziarahi keluarga amilin PAS, Allahyarham Ustaz Fadhil Hasanuddin yang juga penceramah agama, di rumah kediaman ibu arwah, di sini semalam. 

- Advertisement -

Ziarah disambut oleh isteri arwah, Nurul Huda Ahmad Ali, 37, ini bertujuan menyuntik kekuatan buat mereka atas kehilangan insan tersayang dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung. 

Rombongan ziarah ini dipimpin oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Zurina Din dan Ketua Assabiqat Muslimat PAS Malaysia, Khadijah Mahmud bersama beberapa anggota lain. 

Allahyarham Ustaz Fadhil, 37, meninggal dunia akibat masalah lemah jantung yang dialami sejak tahun 2019 dan arwah menghembus nafas terakhir dipangku isterinya pada Selasa, 15 Mac lalu di rumah sewa mereka di Sungai Kandis, di sini. 

Arwah meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak yang masih kecil, di mana anak paling bongsu berusia 10 bulan. 

“Tiga malam arwah berada di rumah selepas keluar dari hospital sebelum menghembus nafas terakhir di riba saya. Selama tiga malam itulah Allah bagi saya peluang berkhidmat kepadanya sebelum arwah pergi dalam keadaan yang sangat baik kerana sempat mengucap kalimah syahadah.

“Itu yang paling kita bersyukur sangat,” ujar Huda juga memberitahu Allahyarham aktif sebagai penceramah agama dan mantan Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor. 

Allahyarham dikenali sebagai amilin dan penceramah yang tegas serta istiqamah dan banyak menyumbang peranan dalam perjuangan, lebih-lebih lagi di bidang ilmu walaupun tanpa pendapatan tetap.

Isterinya, Huda berkerja sebagai guru mengajar Al-Quran atas talian, perkhidmatan mengurut dan berbekam disamping menjaga anak-anak di rumah mereka di mana beliau juga aktif dalam usrah PAS dan berhasrat untuk terus terlibat dalam perjuangan Islam ini. 

Zurina berkata, Huda sebagai ibu tunggal kini akan menggalas  komitmen yang lebih besar kerana perlu menanggung pelbagai kos terutamanya anak-anak masih kecil, sewa rumah bulanan dan keperluan membina bilik tambahan di rumahnya. 

Oleh itu, beliau menyeru para dermawan untuk bersama-sama memberi sumbangan kepada mereka bagi mengurangkan bebanan ke atas isteri arwah. 

Skuad Prihatin mengalu-alukan orang ramai agar terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 atas nama Parti Islam Se-Malaysia dengan rujukan ‘Ustaz Fadhil’. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -