
PONTIAN: Gabungan PAS bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin BERSATU bukan sahaja akan mampu mentadbir negeri, tetapi membentuk Malaysia dengan lebih baik pada masa akan datang.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS terbukti sudah memiliki pengalaman di Kelantan selama lebih 30 tahun walaupun ditekan dan serba kekurangan tetapi mampu bertahan dan mentadbir dengan baik.
Terangnya, pengalaman itu perlu digabungkan dengan kebijaksanaan dan pengalaman Tan Sri Muhyiddin untuk memacu Persekutuan di mana perubahan ke arahnya mesti bermula daripada kepercayaan diberi rakyat di PRN Johor.
Beliau berucap demikian pada Ceramah Penerangan Perikatan Nasional (PN) Sempena PRN Johor bersama Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di DUN Benut, di sini malam tadi.
“Bangsa Johor mesti membuktikan ‘kejantanannya’ untuk menjatuhkan Umno dalam pilihan raya nanti. Jika tidak boleh menukar Kerajaan Umno atau takut membuat perubahan, jangan makan asam pedas dan mee racun,” selorohnya.
Ceritanya, dalam tempoh 5 tahun berturut-turut yakni daripada tahun 2021, Kelantan berjaya mencatatkan Belanjawan surplus iaitu perolehan lebihan ke atas belanjawan, dengan tahun lepas sahaja mencatatkan sebanyak RM40 juta.
Katanya, hasil belanjawan yang sedemikian itu adalah bukti kebijaksanaan pimpinan PAS Kelantan dalam mengurus sumber kewangan kerajaan negeri biarpun berada dalam keadaan sekatan dan serba terhad serta kekurangan.
Jelas beliau, perkara tersebut berlaku dalam keadaan orang mengata ‘Lebai tidak mahir memerintah, tidak berkebolehan’, tetapi Kelantan terus membangun lebih 30 tahun walaupun dihadapkan pelbagai tekanan ke atas negeri itu.
“Saya berkelulusan Master daripada University of Birmingham, England. Saya tidak pernah menyebutnya tetapi pada malam ini saya ingin sebut kerana terdapat orang yang memperlekehkan kepimpinan PAS.
“Mentang-mentang pakai kopiah, kain sarung, mereka mengira yang kita tidak arif dalam berbahasa English. Jika setakat Ibrahim Ali, dari pagi hingga ke malam saya boleh speaking. Begitulah contohnya,” ujarnya memberitahu keupayaan sumber manusia yang wujud dalam PAS.
Pun begitu menurutnya, perubahan telah berlaku apabila PAS bersama-sama dengan parti lain di peringkat Persekutuan, di mana menerusi pelbagai peruntukan, masalah-masalah yang diisukan ke atas negeri itu dapat diatasi.
“Orang memperlekehkan kita kerana masalah air masih tidak selesai. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah air tersebut kerana pemimpin Umno pada waktu tersebut yang menghalang peruntukan ke negeri Kelantan. Negeri Johor pada masa dahulu juga susah.
“Saya masih mengingati semasa saya berada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 80-an, sepanjang jalan di Muar dipenuhi dengan tong dan tempayan kerana tiada air. Adakah tuan dan puan masih ingat? Hal ini bermakna negeri yang diperintah oleh Umno sendiri pun bermasalah.
“Tetapi, sekiranya diberikan peruntukan yang mencukupi di Kelantan, insya-Allah kita boleh menyelesaikan termasuk masalah air. Pulau Pinang boleh menyelesaikan masalah air kerana Kerajaan Persekutuan pada waktu tersebut memberikan soft loan sebanyak RM2 bilion.
“Johor juga memperoleh RM2 bilion. Tetapi, telah dinafikan hak tersebut di Kelantan semasa itu. Ini yang kita perlu fahami. Oleh sebab itu, Kelantan mengatakan “Kalau duit takde, jadi bodo selaluh. Cerdik ni bilo ado duit.” Jadi, kita di Kelantan tiada duit.
“Cuba beri RM2 bilion kepada Kelantan, kita boleh menyelesaikan masalah air. Daripada masuk ke akaun Najib (bekas Perdana Menteri), lebih baik hantar kepada Negeri Kelantan,” sindir beliau.
Hadir sama adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. – HARAKAHDAILY 9/3/2022




















