Wanita Kelantan wanita hebat

- Advertisement -

TANPA malu dan segan, apatah lagi perasaan ragu, kami sebaliknya bangga menuturkan wanita negeri kami wanita hebat! 

Ia bukan satu dongengan atau hiperbola semata-mata. Namun sejarah lama Cik Siti Wan Kembang, Puteri Urduja dan ramai lagi pemimpin silam serta masa kini telah membuktikan perkara ini. Tanpa menidakkan kehebatan wanita selain Kelantan, kami cukup menghargai setiap wanita pejuang khasnya yang bertulang belakangkan Islam. 

- Advertisement -

Sempena Sambutan Hari Wanita, suka kami coretkan kisah kejayaan seorang wanita yang merupakan isteri, ibu, doktor perubatan dan kini bergelar Yang Berhormat Senator.

Wan Martina Wan Yusoff atau mesranya kami panggil Kakna atau saya sendiri membahasakan namanya Cekna, cukup dekat dengan rakyat Kelantan.

Mulai saya kenal sosok ini adalah dalam beberapa program menyantuni orang asli Hulu Kelantan sejak 2015 hingga kini. Komited, sabar, bijak, jaringan sahabat luas, penyayang dan prihatin adalah ciri utama untuk menggambarkan kekanda kami ini.

Sejak dilantik sebagai YB Senator pada 24 Ogos 2021, Dr Wan Martina telah bersuara dengan lantang di Dewan Rakyat akan beberapa isu utama dalam negara. Antaranya adalah masalah berkaitan lantikan doktor kontrak apabila pada November lepas, Kementerian Kesihatan bercadang menyerap 4,186 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat perkhidmatan wajib.

Martina juga tegas membela hak asasi wanita dalam menutup aurat apabila hal ini diangkat dalam perbahasan Parlimen. Dan tanpa kekok beliau tetap tegak berdiri, bangun mempertahankan hak Kelantan untuk mendapat royalti minyak petroleum. Sejak zaman Barisan Nasional, kemudiannya Pakatan Harapan, berlalu pula Perikatan Nasional dan kini ‘Keluarga Malaysia’, isu tuntutan royalti Kelantan masih belum ternoktah.

Dr Wan Martina turut membawa isu hak-hak OKU, pemerkasaan usahawan wanita dalam kemahiran digital, projek Hospital Bachok yang terbengkalai, isu pembangunan infra rakyat seperti ECRL, Central Spine Road, isu-isu kesihatan termasuklah soal kawalan COVID-19 dan penyakit berjangkit lainnya dan kes lambakan harta pusaka yang tidak selesai yang mana beliau mencadangkan agar sebuah jabatan khusus untuk Pengurusan Harta Pusaka bagi membantu percepatkan proses tuntutan.

Isu anak-anak yang kekurangan zat makanan turut dibangkitkan YB Kakna di Parlimen yang mana beliau menggesa diperluaskan program ‘community feeding’ kepada miskin bandar atau luar bandar. 

Itu sekadar catatan ringkas saya, yang jarang-jarang sekali melihat rakaman ucapan dan perbahasan Kakna di Parlimen. Banyak hal bukan? Mungkin sahaja lebih banyak yang telah beliau perjuangkan di dewan sana tetapi terlepas daripada mata saya.

Turun padang bantu rakyat

Kakna atau Cekna, yang saya kenali sejak dahulu adalah seorang ibu yang gemar memasak untuk suami dan anak-anak, menghias rumah, dekorasi dalaman, landskap halaman dan ‘hantu keladi!’ Macam-macam spesis ditanam, beli dan ambil daripada kawan-kawan. 

Namun kesibukan doktor perubatan ini yang dahulunya aktif dalam NGO serta Dewan Muslimat, bertambah-tambah setelah bergelar YB Senator. Beliau tidak lekat di rumah dan demi rakyat, setiap negeri dilawati serta disantuni.

Sejak awal musim COVID-19 hingga akhir tahun lalu, Kakna dan program vaksinasi berpisah tiada. Pagi petang siang malam komited mengajak dan menguruskan rakyat untuk mengambil vaksin sehinggakan turun ke program outreachdi kampung kampung serta pos orang asli. 

Termasuk juga adalah peranan yang beliau mainkan dalam menyediakan bantuan segera kepada murid-murid miskin yang terkena COVID-19 dan asnaf yang terjejas dengan bakul bantuan makanan.

Apabila Selangor dan Pahang dilanda bah besar Disember lalu, beliau tidak duduk diam, dan mengekori jerit perih mangsa banjir di sana khasnya anak-anak Kelantan di perantauan.

YB Kakna dan rakan-rakannya turut mewujudkan kelas bagi pelajar tercicir dalam membaca serta menulis dalam daerah Bachok. Ini adalah satu inisiatif yang amat baik serta dipuji ramai apabila bilangan anak-anak yang tercicir dalam pembelajaran kelihatannya meningkat setelah negara dibadai pandemik.

Kemudiannya program taklimat skim perlindungan sosial PERKESO kepada usahawan wanita (dari rumah) turut beliau susun agar kebajikan wanita ini terjaga dan terlindung. Beliau turut memulakan perbincangan dua hala bersama Inspek Universiti Malaysia Kelantan dalam meneroka peluang kerjasama untuk membangunkan usahawan-usahawan kecil serta para asnaf Kelantan.

Terbaru, Kakna menyertai lawatan kerja Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Pendidikan dan Komunikasi ke sekolah-sekolah daif di pedalaman Sarawak yang beliau merupakan Timbalan Pengerusi kepada jawatankuasa ini. Lawatan ini membuka ruang untuk mereka menyuarakan permasalahan komuniti secara langsung dan terus.

Selain itu, Kakna turut menjadi salah seorang panel pakar rujuk dalam menambahbaik Dasar Wanita Negara dan pakar rujuk dalam pembinaan modul kepimpinan yang dianjurkan oleh NGO PAPISMA yang kini menguruskan latihan skuad waja bawah di bawah KPWKM. 

Pendek kata, banyak yang saya boleh tuliskan betapa kompetennya wanita ini dalam menjadi suara rakyat, termasuk menjadi denyut nadi pembangunan insan dalam tanah air. 

Semoga YB Dr Wan Martina, Doc Na, Kakna, Cekna, Umi atau apa sahaja gelaran yang ada pada dirinya, terus cemerlang dan sukses. Terima kasih kerana menjadi ikon wanita hebat. 

Selamat Hari Wanita buatmu dan seluruh wanita wanita hebat di luar sana.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 9/3/2022

- Advertisement -