COVID-19: Senaraikan dalam Pekeliling Perkhidmatan – CEUPACS

Perlu dinyatakan sebagai penyakit berjangkit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menyenaraikan COVID-19 sebagai penyakit berjangkit dalam Pekeliling Perkhidmatan bagi melayakkan ibu bapa yang menjaga anak dijangkiti wabak tersebut menggunakan kemudahan cuti kuarantin bagi menguruskan anak mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Dato’ Adnan Mat berkata langkah itu, bagi membolehkan ibu bapa khususnya yang menjadi kontak rapat tanpa gejala dan telah menerima dos penggalak mendapat kemudahan lima hari cuti kuarantin tersebut.

- Advertisement -

Ini kerana, mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), individu dalam kategori itu tidak perlu menjalani kuarantin manakala berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016, kemudahan cuti kuarantin ini hanya diberikan kepada ibu bapa yang anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit antaranya penyakit tangan, kaki dan mulut; demam denggi; cacar air (chickenpox) dan malaria, tidak termasuk COVID-19.

“Dalam hal ini, mereka tidak boleh hantar anak ke pengasuh, ini menjadi kesukaran untuk menguruskan anak-anak mereka jadi, CUEPACS minta agar cuti kuarantin ini diberikan kepada salah seorang sama ada ibu atau bapa untuk jaga anak mereka sehingga sihat sepenuhnya.

“Kalau tidak diberikan cuti kuarantin ini, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan boleh mempertimbangkan untuk memberi kemudahan bekerja dari rumah dan kembali bertugas lima hari kemudiannya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata CUEPACS mengambil maklum kepentingan penjawat awam untuk terus berada di lapangan atau pejabat kerana situasi ketika ini menuntut mereka sebagai pelaksana untuk bertugas bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jadi ketua-ketua perkhidmatan perlu bijak mengurus dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas oleh kerana jangkitan masih berlaku tetapi dalam masa yang sama sistem penyampaian tidak boleh terhenti begitu sahaja,” katanya.

Pada 24 Februari lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac 2022. – BERNAMA

- Advertisement -