
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3,776,350 diperuntukkan kepada mangsa banjir di Pantai Timur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad.
Katanya, bagi tujuan menyantuni mangsa banjir maka beliau telah bersetuju untuk memperuntukkan peruntukan khas kepada mangsa banjir di Pantai Timur melalui beberapa agensi.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperuntukkan sebanyak RM310,000, YaPEIM (RM165,350), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM2,600,000), Lembaga Tabung Haji (RM300,000), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM51,000) dan Yayasan Taqwa (RM350,000).
Katanya, berdasarkan maklumat tadi, maka kos keseluruhan bagi misi bantuan oleh agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah berjumlah RM3,776,350.
“Saya akan memastikan peruntukan yang telah saya umumkan tadi sampai kepada semua penerima tanpa mengira kaum, agama dan bangsa,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Musaádah Keluarga Malaysia Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ke Pantai Timur.
Turut hadir timbalan beliau, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Tambahnya, walau bagaimanapun misi bantuan itu bukanlah baru digerakkan pada hari ini, namun sebenarnya agensi di bawah beliau telah mula memainkan peranan di waktu awal banjir melanda di Pantai Timur iaitu YaPEIM dan YADIM dengan mengagihkan bantuan berupa makanan.
“Kita juga menzahirkan kesyukuran yang ke hadrat Allah SWT kerana usaha murni kita ini mendapat sambutan dan dukungan daripada Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM (SDK JAKIM) yang turut sama ingin menyumbang bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.
“Alhamdulillah pada pagi ini pihak Celcom Sdn Bhd. telah memberikan komitmen untuk menyumbangkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan dengan nilai berjumlah RM18,000,” ujarnya lagi.
Ini, katanya menunjukkan agensi di bawah beliau sentiasa menjalinkan kerjasama strategik bersama sektor korporat.
Justeru, beliau amat mengalu-alukan kepada semua sektor korporat yang ingin menyumbangkan ke dana Tabung Musaádah Covid-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia bagi membantu mereka yang dilanda musibah.
“Insya-Allah pada pagi ini saya difahamkan terdapat 10 buah kenderaan agensi yang akan turun bersama dengan membawa barangan keperluan asas seperti makanan kering, beras, selimut/toto, naskhah al-Quran, kit solat dan sebagainya untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya.
Idris amat mengharapkan agar program seumpama itu dapat memberikan impak positif dalam menyahut hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan rakyat Malaysia ini sebagai satu keluarga besar yang saling memerlukan dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
Ini, kata beliau seterusnya mewujudkan sebuah Keluarga Malaysia yang penuh berkasih sayang dan harmoni di kala saat genting seumpama ini.
“Dalam memastikan kita menyahut gagasan Keluarga Malaysia yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri, maka saya ingin bersama-sama untuk turun padang bagi mendekati dan menyantuni mangsa banjir di Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu,” katanya lagi.

Idris juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi di bawah beliau yang turut memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan majlis itu.
“Kerjasama seperti inilah yang saya sangat perlukan di kalangan agensi di bawah saya dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/3/2022




















