
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Lebih 3,000 penduduk di 11 kampung di kawasan pulau terpaksa bergelap ekoran kapal pengorek pasir di Sungai Kelantan hanyut melanggar tiang elektrik baru-baru ini.
Seorang penduduk Roslan Ismail, 50 kejadian itu berulang semula selepas kejadian serupa berlaku ketika banjir besar pada 2014.
Katanya, ketika itu hanya rumah beliau yang ada generator, di mana penduduk datang setiap hari untuk mengecas bateri telefon mereka.
“Baru-baru ini pengurusan Masjid Mukim Teluk Renjuna menyediakan generator bagi membekalkan elektrik kegunaan penduduk bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Adun Kelaboran Adanan Hassan juga menghantar generator untuk kegunaan surau. Namun sekarang bekalan elektrik pulih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya penduduk terpaksa bergelap dalam tempoh empat hari ekoran kejadian tersebut.
Ketika hujan lebat melanda Kelantan Jumaat lepas paras air Sungai Kelantan meningkat sehingga menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah.
Peningkatan paras air dan arus deras turut menghanyutkan sebuah kapal pengorek pasir sehingga terlanggar tiang elektrik yang membekalkan tenaga ke kawasan pulau.
Roslan yang juga aktivis belia berkata, ekoran kejadian tersebut pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk makanan dan generator elektrik.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini mengesahkan kejadian itu berlaku dan meneliti perkara tersebut bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. – HARAKAHDAILY 3/3/2022











