
Oleh SARINA ISMAIL
PADANG TERAP: Tawaran dibuat Perikatan Nasional kepada rakyat Johor dianggap menyeluruh kerana meliputi semua aspek untuk memulihkan kehidupan rakyat kesan pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antaranya keluarga berpendapat rendah bakal menerima 20 meter padu air secara percuma.
Katanya, perkara itu terkandung dalam Ikrar Perikatan Nasional yang dilancarkan di Johor semalam.
“Insya-Allah sekiranya Perikatan Nasional menang, perkara itu akan dilaksanakan,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu SRITI Nurul Hidayah, Pekan Naka hari ini.
Semalam Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Ikrar Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’.
Ikrar tersebut berteras lapan tunjang utama, berpandukan 24 strategi dan 145 pendekatan.
Tunjang utama kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, akibat pandemik Covid-19 sempadan Johor-Singapura ditutup menyebabkan pelancong dari negara itu tidak dapat datang ke Johor.
“Ramai rakyat Singapura tidak dapat datang berbelanja di Johor kerana sempadan ditutup. Rakyat Johor juga ada yang tidak boleh bekerja di Singapura.
“Oleh itu tawaran yang dibuat oleh Perikatan Nasional menyeluruh dan berusaha untuk membangunkan semula Johor,” kata beliau.
Kata beliau juga perkataan manifesto ditukar kepada ikrar berikutan ada pihak cuba merosakkan istilah itu kononnya ia bukan kitab suci.
Menurutnya apabila gagal melaksanakan manifesto, mereka kata ia bukan kitab suci.
Beliau juga berkata, poster dan banner Perikatan Nasional yang dirosakkan ‘pihak yang tiada kerja’ sedangkan rakyat tahu demokrasi boleh dilakukan secara terbuka. – HARAKAHDAILY 3/3/2022











