
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Dewan Muslimat PAS Kedah berharap kerjasama yang terjalin dengan parti-parti kompenan Perikatan Nasional (PN) sekarang diteruskan sehingga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ketuanya Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, kerjasama itu bukan sahaja untuk PRN Johor, sebaliknya sebagai latihan menghadapi PRU ke-15.
“Hari ini kami mulai menghantar petugas ke lima Dun yang ditetapkan bersama Srikandi Bersatu untuk membantu calon PN di Johor,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Wanita PN Kedah berkata, petugas muslimat dan Srikandi Bersatu membantu kempen sehingga menjelang hari pembuangan undi 12 Mac ini.
Oleh itu katanya petugas terbabit diharap dapat memberi perkhidmatan terbaik dan bekerja penuh keikhlasan demi kemenangan calon PN.
Menurutnya petugas turut dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.
Siti Ashah yang juga anggota Exco kerajaan Kedah berkata, Dewan Muslimat PAS juga akan menghantar petugas tambahan ke Dun Parit Yaani dan Pulai Sebatang untuk membantu calon PN.
“Selain itu lima Dun ditetapkan iaitu Dun Penawar dan Tanjung Surat di Parlimen Penggerang, Dun Tiram serta Dun Puteri Wangsa di Parlimen Tebrau dan Dun Johor Lama di Parlimen Kota Tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2022











