Menyayat hati dengar kemalangan Nur Hasliza

Foto daripada Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah pasti menyayat hati mendengar insiden kemalangan yang begitu sedih berlaku ke atas almarhumah Nur Hasliza Abdul Yazaib dan bayinya di Pasir Mas, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau berharap semoga keluarga dan suami almarhumah, Mohd Khairi Abdullah tabah serta reda dengan ujian Ilahi.

- Advertisement -

“Marilah kita mendoakan agar almarhumah diampuni, dirahmati, dikasihi dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” ujarnya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menerusi laman Facebook beliau, malam tadi.

Media melaporkan almarhumah yang hamil sembilan bulan maut dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 7.00 malam di Kampung Banggol Stol Repek, Pasir Mas.

Lebih menyayat hati, bayi yang bakal dilahirkan terkeluar dari kandungan dan disahkan meninggal dunia selepas kira-kira lima jam dirawat Hospital Pasir Mas.

Motosikal ditunggang almarhumah bersama seorang lagi anaknya yang berusia enam tahun bertembung dengan motosikal dinaiki seorang pemuda.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan beliau berada di Johor ketika mendengar khabar satu tragedi berlaku itu.

Susulan itu, isteri beliau telah menziarahi dan menghulurkan sumbangan bagi pihaknya pada pagi esoknya.

Foto daripada Facebook Ahmad Fadhli bin Shaari.

Beliau berharap semoga keluarga Allahyarham dapat terus bertabah dan dikurniakan ganjaran berpanjangan di atas musibah yang dialami.

“Semoga Allahyarham diberikan rahmat, diampunkan segala kesalahan dan dimasukkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, semalam. – HARAKAHDAILY 20/2/2022

- Advertisement -