Umrah Haraki lahirkan ahli PAS yang istiqamah

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

TAWAU:
Umrah Haraki merupakan program bermodul khas untuk ahli-ahli PAS supaya dapat melahirkan ahli yang istiqamah dalam melaksanakan kerja-kerja jamaah di lapangan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS), Ustaz Azman Jupri berkata, ahli akan menghayati secara lebih dekat sirah Rasulullah SAW kerana setiap lokasi yang dilawati akan diceritakan kehidupan yang telah dilalui oleh baginda SAW sebagai seorang ayah, pemimpin Islam, panglima perang dan murabbi.

“Dewan Ulamak negeri mengharapkan dengan program ini dapat melahirkan rasa sedia berkorban masa, harta dan nyawa kerana Islam seperti yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam peristiwa hijrah di mana mereka sanggup berpindah ke Madinah sehelai sepinggang, meninggalkan harta benda di Mekah semata-mata menyahut seruan Allah dan rasul untuk menjaga aqidah dan Islam tercinta.

- Advertisement -

“Dengan program ini juga ahli mampu melaksanakan tugas dan gerak kerja parti secara tersusun dan berstrategi agar dapat menghasilkan kerja yg berkualiti dan sampai kepada mad’u,” ujar beliau ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Umrah Haraki oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Aminuddin Aling.

Pelancaran itu dilakukan sempena Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden peringkat negeri di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau berharap, kesan daripada program bermodul itu, ahli boleh bersabar di atas semua ujian ketika berada di lapangan dakwah.

Menurutnya juga, Umrah Haraki merupakan program bermodul pakej 12 hari 10 yang diketuai oleh Ketua Lajnah Ekonomi DUPNS, Ustaz Abdul Muein Mohd Noor dengan kerjasama In Saff Travel & Tours Sdn Bhd yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan pengisi program dalam kalangan pimpinan dewan ulamak negeri.

“Program ini kami jangkakan akan dilaksanakan pada bulan Disember tahun ini dengan konsep pembayaran yang mudah untuk pimpinan, ahli dan keluarga mereka.

“Kami berharap, program yang julung kali diadakan ini mampu memberi pendedahan dan penghayatan secara lebih dekat tentang sirah Rasulullah SAW kepada semua ahli.

“Dengan program itu, peserta dapat mengambil ibrah daripada keseluruhan dakwah termasuk pengorbanan, ujian dan kepayahan yang ditempuhi oleh Rasulullah SAW untuk memastikan Islam berkembang sehingga sampai kepada kita hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/2/2022

- Advertisement -