
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menawarkan peluang pekerjaan kepada 585 peserta projek Agropolitan Kelantan Selatan di Rantau Manis, Gua Musang.
Ahli Lembaga Kesedar, Azman Ahmad berkata, penduduk terbabit diberi peluang bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan, namun mereka menolak.
Katanya, Kesedar menawar peluang kerja kepada kira-kira 200 penduduk untuk ditempatkan di ladang dan kilang Kesedar serta kawasan Felda.
“Tetapi mereka tidak mahu, sebaliknya mereka nak ladang ditawarkan. Sedangkan pada perjanjian awalnya, semua peserta hanya akan diberi rumah dan lot kediaman sahaja.
“Mereka tidak ditawar untuk memiliki ladang kerana sebagai peserta sahaja dan bukan peneroka,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini media melaporkan peserta Projek Agropolitan Rantau Manis Gua Musang hilang pekerjaan selepas projek itu diambil alih Kesedar.
Seorang penduduk dilapor mendakwa segala perjanjian dengan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) terbatal dan peserta terpaksa meninggalkan kerja di ladang.
Azman juga berkata, beberapa siri pertemuan diadakan bersama penduduk bagi memastikan semua peserta terbabit mendapat pekerjaan yang sesuai.
Katanya juga Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Rantau Manis diperkenalkan sejak 20 tahun melibatkan kos RM240 juta bagi membantu penduduk miskin tegar.
Projek tersebut sebelum ini dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, namun pada 1 Januari lalu diserahkan sepenuhnya kepada Kesedar. – HARAKAHDAILY 18/2/2022











