
INFAQ Istiqamah adalah program sumbangan kepada PAS melalui potongan secara tetap dari akaun bank yang boleh disertai oleh sama ada ahli atau bukan ahli.
Potongan tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun PAS Pusat yang kemudian akan mengagihkannya kepada Badan Perhubungan PAS Negeri sebanyak 20 peratus dan PAS Kawasan sebanyak 50 peratus.
Contohnya bagi seorang ahli PAS yang berdaftar di Kota Bharu yang menyumbang RM100, sebanyak RM50 akan dikreditkan kepada PAS Kawasan Kota Bharu, RM20 akan dikreditkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan dan RM30 kepada PAS Pusat. Potongan tersebut berterusan sehingga beliau membatalkan penyertaan beliau.
Pada mulanya program ini menghadapi sedikit masalah kerana mereka yang hendak menyertainya perlu mengisi borang yang akan diproses oleh bank yang mengendalikan program ini. Bank tersebut perlu mengemukakan borang tersebut kepada bank pemohon yang akan mengesahkannya. Justeru proses ini sudah tentu memakan masa dan ada yang sehingga lebih dari dua bulan.
Tetapi masalah akan timbul apabila tandatangan pada borang penyertaan berbeza dari tandatangan yang disimpan oleh bank pemohon. Ini tidak menghairankan kerana ada yang membuka akaun mereka lebih 20 tahun yang lampau oleh itu terdapat tandatangan hari ini yang berbeza dari tandatangan ketika itu. Jika ini berlaku, bank pemohon akan menolak permohonan tersebut dan tidak akan diluluskan.
Akibatnya terdapat PAS Kawasan yang menghubungi Jabatan Bendahari bertanya kenapa sumbangan kepada mereka tidak dikreditkan walhal terdapat ahli-ahli mereka yang telah mengisi borang. Jabatan Bendahari terpaksa menghubungi semula pemohon dan meminta mereka mengisi semula borang penyertaan.
Sudah tentu proses ini mengambil masa yang panjang tambahan pula jika pemohon telah lupa langsung akan tandatangan asal mereka dan terpaksa menghubungi bank mereka. Oleh yang demikian satu jalan penyelesaian perlu dicari.
Alhamdulillah mulai bulan Jun tahun lepas mereka yang ingin menyumbang tidak perlu mengisi borang tetapi penyertaan boleh dilakukan secara di atas talian (online). Mereka boleh mendaftar menggunakan telefon bimbit dan kelulusan adalah serta merta jika mematuhi syarat-syarat.
Walau bagaimanapun kemudahan ini adalah untuk mereka yang mempunyai kemudahan perbankan internet. Namun begitu bilangan mereka dengan kemudahan tersebut adalah cukup besar untuk mencapai matlamat sekurang-kurangnya 100,000 peserta dalam masa 12 bulan.
Pendaftaran secara di atas talian ini banyak membantu kerana sejak ia diperkenalkan, terdapat pertambahan penyertaan yang ketara. Dalam masa kurang dari 5 minit sesiapa sahaja boleh mendaftar untuk program ini.
Anda boleh mendaftar di mana-mana sahaja seperti di rumah, di tempat kerja, di dalam kereta atau di warung dengan syarat anda memiliki capaian internet. Justeru bagi sesiapa yang mempunyai kemudahan perbankan internet, tidak ada alasan kenapa anda tidak menyertai program Infaq Instiqamah ini. Malah jumlah minimum untuk disumbang setiap bulan adalah hanya RM10.
Untuk menyertai program Infaq Istiqamah PAS, sila klik di pautan ini:
Link untuk mendaftar diedarkan secara meluas. Tiada sesiapa yang boleh berkata mereka tidak tahu. Sejak akhir tahun lepas pasukan Jabatan Bendahari telah turun ke negeri-negeri untuk bertemu dengan Bendahari-bendahari PAS Kawasan selain dari Bendahari Badan Perhubungan di dalam program yang dinamakan Roadshow Infaq Istiqamah.
Roadshow ini bermula dengan Kelantan pada 3 Disember dan Terengganu pada 4 Disember. Pada 15 Januari lepas roadshow ini telah diteruskan dengan Perak dan Perlis. Sementara pada 19 Februari ini, ia akan diteruskan di Pulau Pinang dan Kedah. Selaku Bendahari PAS Pusat, saya sendiri telah turun ke 4 negeri dan akan turut bersama dalam roadshow pada 19 Februari ini.
Apabila penyertaan program ini dipermudahkan, peluang untuk menyumbang kepada PAS telah dibuka seluas-luasnya. Peserta program Infaq Istiqamah bukan sahaja terdiri dari ahli-ahli PAS tetapi penyokong-penyokong PAS yang bukan ahli dan juga ahli-ahli Umno. Jika anda menikmati teh tarik di kedai Mamak bersama kawan-kawan, anda boleh mendaftar untuk program ini dan mendapatkan kelulusan sebelum anda dapat menghabiskan segelas teh tarik. Semudah itu untuk mendaftar.
Memandangkan terlalu mudah untuk menyertai program Infaq Istiqamah ia boleh menjadi satu ukuran kepada komitmen seorang ahli terhadap PAS. Mungkin jika ia rumit dan mengambil masa maka seorang ahli mempunyai alasan jika beliau tidak mendaftar.
Justeru adakah 5 minit dari hidup mereka terlalu berharga sehingga mereka tidak mampu meluangkannya untuk mendaftar? Adakah mereka terlalu sibuk sehingga tidak dapat mengorbankan walaupun 5 minit dalam jadual harian mereka untuk mendaftar? Adakah 5 minit waktu mereka itu lebih bernilai dari PAS? Hanya mereka yang boleh menjawab.
Hari ini terdapat kurang dari 4,000 orang yang mendaftar untuk program Infaq Istiqamah. Walaupun ini merupakan satu lonjakan yang besar sejak penjenamaan semula pada tahun 2019 namun bilangan ini belum cukup memuaskan berbanding dengan bilangan keseluruhan ahli PAS yang mencecah hampir 1 juta orang.
Hanya kurang dari 0.5 peratus ahli PAS yang menyertai program ini. Pada Muktamar tahun lepas, Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mensasarkan 10 peratus ahli PAS menyertai Infaq Istiqamah dengan sumbangan bulanan sebanyak RM2.62 juta. Tetapi ini hanya akan menjadi realiti jika komitmen bukan hanya terletak di bibir semata-mata tetapi diterjemahkan kepada tindakan-tindakan. Jika anda seorang ahli yang mengaku diri anda ‘Istiqamah’ tetapi belum lagi mendaftar, ingat kepada firman Allah S.W.T di dalam Surah As-Saff ( Ayat 2 & 3 ) yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu perkara yang tidak kamu kerjakan. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan sesuatu perkara yang tidak kamu kerjakan.”
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/2/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/5221755867843368/











