
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
TUMPAT: Polis Kelantan meningkatkan tahap keselamatan negara terhadap sebarang kemungkinan yang dijangka berlaku sekiranya sempadan negara dibuka tidak lama lagi.
Ketua Polis negeri Dato’ Shafien Mamat berkata, kerajaan akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin bagi memastikan pembukaan pintu sempadan negara tidak menyebabkan peningkatan Covid-19.
“Saya boleh katakan bahawa pasukan keselamatan meningkatkan pemantauan dengan penggunaan unit berkuda dan dron untuk buat pemantauan.
“Kita sudah sedia, apa pun kalau SOP yang ditetapkan kita minta patuhi, jika tidak patuh penularan wabak ini boleh berlaku dan jika langgar SOP ini kita akan kenakan tindakan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas seminar keselamatan community policing polis Kelantan bersama penggawa dan penghulu jajahan Tumpat di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh hari ini.
Hadir sama pada program itu Adun Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.
Sebelum ini media melaporkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan supaya sempadan negara bermula dibuka Mac ini.
Bagaimanapun pembukaan sempadan negara juga dikatakan ditunggu sindiket perkahwinan di negara jiran.
Semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pasangan yang berhasrat ingin berkahwin di sempadan negara dinasihat tidak menggunakan khidmat sindiket nikah yang tidak sah.
Menurutnya perkahwinan menggunakan khidmat sindiket dibimbangi tidak dijalankan mengikut hukum syarak. – HARAKAHDAILY 15/2/2022




















