
Oleh SARINA ISMAIL
SIK: Klinik Penyelesaian Kes Tunggakan Harta Pusaka diadakan bagi menyelesaikan urusan tunggakan harta pusaka yang kini mencecah 60,000 kes melibatkan RM70 bilion harta yang dibekukan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, KeTSA juga dalam usaha mewujudkan jabatan baharu di mana sekarang dalam tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, jabatan itu boleh bergerak sendiri dan akan mempunyai ketua pengarah, pengarah negeri-negeri serta kakitangannya.
“Pada 22 Disember lepas parlimen meluluskan Pindaan Akta Harta Pusaka dan sekarang dalam proses menyiapkan peraturan sebelum diwartakan,” katanya selepas Pelancaran Klinik Penyelesaian Kes Tertunggak Harta Pusaka di Dewan Al-Hana, petang semalam.
Menurutnya juga Sik merupakan daerah pertama dipilih KeTSA untuk pelancaran klinik berkenaan berikutan Kedah mempunyai kes tunggakan harta pusaka paling tinggi di Malaysia iaitu lebih 13,000 kes.
Kata beliau, langkah proaktif termasuk mengendalikan urusan pendaftaran dan pembayaran secara atas talian turut menjadi agenda perbincangan bersama pegawai daerah seluruh Kedah.
“Mungkin kita juga akan adakan perbicaraan tuntutan harta pusaka secara atas talian seperti mana yang dilaksanakan di beberapa tempat di Malaysia.
“Lagi pun sekarang mahkamah juga menjalankan perbicaraan secara online termasuk Mahkamah Persekutuan,” tambah beliau.
Takiyuddin berkata, kaedah secara atas talian itu boleh membantu menyegerakan urusan perbicaraan yang mungkin tidak dapat dilaksana secara fizikal apabila berlaku pertambahan permohonan baharu.
Menurutnya juga selepas ini kes-kes baharu boleh dikendalikan mengikut kaedah baru untuk mengurangkan jumlah kes tunggakan.
Beliau juga yakin kes-kes tertunggak di Kedah dapat diselesaikan segera di mana negeri itu akan menggunakan khidmat Pegawai Pentadbir Tanah termasuk Penolong Pegawai Daerah dan Pegawai Penempatan untuk diwartakan sebagai pegawai penyelesaian pusaka.
Sementara Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, merakam penghargaan kepada KeTSA kerana memilih Sik sebagai lokasi pertama pelaksanaan Klinik Penyelesaian Kes Tertunggak Harta Pusaka.
Oleh itu beliau berharap kes pusaka tertunggak khususnya di daerah terbabit dapat diselesaikan segera.
“Perkara ini bukan sahaja dapat menyelesaikan tunggakan kes harta pusaka sebaliknya membantu menggerakkan harta yang beku akibat pembahagian pusaka yang tidak dapat diselesaikan.
“Kerajaan negeri memberi komitmen untuk menyokong semua urusan berkenaannya agar dapat diselesaikan segera,” kata beliau.
Turut hadir pada program tersebut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim dan wakil-wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 15/2/2022











