
TEMERLOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad bersama isteri, Kamariah Mohd Ali telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir sekitar daerah ini, kelmarin.
Kira-kira 14 agensi dibawahnya dan NGO turut bersama, antaranya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Rahmat Care, Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), serta lain-lain.
Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hasan turut sama mengiringi Idris menyantuni mangsa banjir di Pusat Permindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Desa Bakti, Taman Teluk Ira dan Kampung Paya Dalam Temerloh.
Sebanyak RM 112 000 ringgit sumbangan dalam bentuk barangan seperti keperluan tidur, kit solat, makanan serta 100 naskah Al-Quran disumbangkan kepada Sekolah Rendah Agama Taqwa dan kepada beberapa masjid di sini.
“Pastikan barang sampai kepada setiap keluarga kerana agama mengajar kita tidak boleh ambil kesempatan kepada orang-orang susah,” peringat Ustaz Idris.
Sukarelawan YADIM dan MAIM yang menaungi NGO-NGO Islam turut beramai-ramai mencuci dan membersihkan rumah mangsa dan Dapur Rakyat YADIM juga dibuka bagi memenuhi keperluan makanan kepada petugas dan mangsa.
Idris dalam pada itu telah mengarahkan kepada agensi berkaitan untuk menyediakan jentolak dan lori-lori untuk mengeluarkan barangan yang rosak di hadapan rumah dan dibuang ke tempat pelupusan.
“Moga Allah gantikan dengan yang lebih baik, ini cara Allah bagi pahala kepada kami untuk bantu tuan-tuan dan Allah berikan pahala sabar dan tabah pada tuan-tuan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.
“Katakanlah (Muhammad), “Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.Dialah pelindung kami,dan hanya kepada Allah bertawakallah orang-orang yang beriman”.” ujarnya mengungkap petikan ayat 51 surah at-Taubah.
Nasrudin pula dalam pada itu turut menyeru orang ramai untuk tampil membantu mangsa-mangsa banjir, kerana ujarnya ia merupakan salah satu elemen besar dalam membina Keluarga Malaysia yang sejahtera. – HARAKAHDAILY 30/12/2021


























