
BUKIT GANTANG: Perak sebagai lokasi gerakan terawal hingga membawa kepada tertubuhnya PAS perlu menjadi motivasi kepada para pimpinan parti Islam itu di negeri ini untuk mengembalikan semula kegemilangan tersebut.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, gerakan yang terlibat ke arah kemerdekaan tanah air dipimpin Ustaz Abu Bakar Bakir itu telah menyatukan para ulamak dalam satu jemaah iaitu Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol.
Imbas beliau, peringkat awal tertubuhnya PAS, antara pimpinan besar ialah Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmy dan Allahyarham Profesor Dr Zulkifli Muhammad, selain kemenangan kerusi pertama PAS juga di Perak iaitu Kerian pada tahun 1959 oleh Tuan Haji Ahmad Tuan Hussin.
“Gerakan menuntut kemerdekaan, antara tokohnya, tak kiralah berhaluan kiri atau kanan, antaranya Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan lain-lain adalah orang Perak.
“Presiden dan Timbalan Presiden PAS, Dr Burhanuddin al-Helmi, Prof Dr Zulkifli Muhammad adalah orang Perak dan Datuk Asri (Muda), walaupun orang Kelantan, tapi bila beliau berkahwin dengan orang Padang Rengas, beliau bergiat di Perak.
“Kemenangan pertama calon PAS dalam pilihan raya (juga) adalah di Perak,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Negeri Perak Kali Ke-45 di Markas Tarbiah PAS Negeri di Air Kuning, di sini kelmarin.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Mustafa Sha’ari dan Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Zulkifli Zakaria serta Naib Ketua, Ustaz Suhaimi Wafir dan perwakilan 11 Dewan Ulamak PAS Kawasan seluruh negeri.
Razman berkata, perkara yang beliau hendak pertegaskan adalah betapa benih perjuangan PAS ditanam dan tumbuh di negeri ini, tetapi tidak subur di Perak, sebaliknya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Terang beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, perjuangan PAS di Kelantan dan Terengganu serta Kedah boleh bangun dengan sendiri, namun di Perak masih terpaksa bergabung dengan orang lain.
ADUN Gunung Semanggol yang juga memegang portfolio Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri ini berkata, semua pimpinan negeri termasuk beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan kegemilangan itu.
Dalam ucapan itu, beliau seterusnya menggariskan beberapa perkara yang perlu dikuasai seluruh pimpinan, khususnya kalangan anggota Dewan Ulamak dalam usaha ‘Memprofesionalkan Ulamak dan Mengulamakkan Profesional’.
Garisnya, langkah-langkah tersebut bertujuan melahirkan pimpinan berkemampuan mentadbir kerana pimpinan yang dipilih dalam Dewan Ulamak, sama ada di peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan adalah pimpinan ke arah menghadapi PRU15.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan yang ada sekarang ini, di mana diberi sedikit kemewahan.
Terangnya, di Perak PAS ada dua anggota Exco, seorang Timbalan Speaker serta beberapa orang dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), 76 ahli majlis dan 829 JPKK di mana bekerja dengan adanya imbuhan.
“Jawatan-jawatan itu kita dapat kerana kita diberi kepercayaan oleh jamaah dan gaji atau imbuhan itu kita dapat kerana kita bekerja dengan jawatan itu.
“Oleh itu apa yang kita dapat itu, sebahagiannya kita bagi baliklah kepada jamaah yang telah memberikan kepercayaan kepada kita. Kita infak semula untuk menggerakkan jamaah,” serunya. – HARAKAHDAILY 28/11/2021













