Banjir: Fahami situasi, jangan salah menyalah

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

JELEBU:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menasihatkan orang ramai terutama mereka yang terlibat dengan banjir agar tidak bersikap salah menyalahkan antara satu sama lain.

Menurut beliau, orang ramai perlu memahami bahawa pergerakan pasukan keselamatan semasa berlaku banjir sangat terhad dan sukar dan ia tidak sama dengan situasi biasa yang tidak berlaku bencana.

- Advertisement -

“Tak bolehlah kadang-kadang orang marah kepada bomba, marah kepada polis, marah pada JPKK, marah kepada wakil rakyat, tak guna marah. Kerana isu ini isu berlaku di semua tempat. Polis pun tak cukup kekuatan. Yang paling sedihnya, rumah dia pun kena (banjir).

“Pegawai kebajikan, rumah dia pun kena (banjir). Jadi kadang-kadang dia tinggalkan rumah dia untuk tumpukan di pusat-pusat pemindahan sementara,” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan ringkas ketika menyampaikan bantuan berbentuk selimut toto, beras, makanan segera dan kit ibadat kepada 50 orang mangsa banjir di Masjid Lama Kuala Klawang, di sini, petang semalam. Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha turut hadir.

Tambahnya lagi, bantuan yang diberikan tidak mengira agama, bangsa, politik dan sebagainya atas dasar membantu mereka yang ditimpa musibah.

“Kerana ‘hari’ ini berpusing. Mungkin hari ini hari mereka, besok pula hari kita. Kalau kita ingat pada orang waktu orang susah, insya-Allah masa kita susah nanti orang akan ingat kepada kita,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -