KIAS ketuai Sekretariat Pendidikan Islam Nusantara

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) akan dijadikan institusi pendidikan tinggi terunggul di rantau ini bermula tahun hadapan.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, KIAS dijadikan sebagai tunggak utama bagi mengetuai Sekretariat Pendidikan Islam Nusantara (SPIN).

Antara perancangan katanya menarik seramai mungkin pelajar khususnya dari negara Asia Tenggara yang majoriti penduduknya beragama Islam seperti Kemboja, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

- Advertisement -

“Tidak lama lagi kita akan melancarkan SPIN yang akan menjadikan KIAS sebagai tunggak utama, memimpin sekretariat terbabit.

“Mereka akan menjadi duta kita di sana. Ini merupakan cita-cita besar untuk menjadikan KIAS sebagai kampus induk kepada kampus-kampus kecil yang berada seluruh negara di nusantara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wacana sempena Sambutan Dua Dekad KIAS yang diadakan secara atas talian di YouTube Channel Rasmi KIAS dan Facebook Live KIAS baru-baru ini.

Wacana itu bertajuk ‘Dua Dekad: Anjakan Paradigma KIAS Terhadap Perkembangan Ilmu Di Nusantara.

Turut hadir Ketua Eksekutif KIAS Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin; Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Akademik, Dr Mohd Ramizu Abdullah; Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Pelajar Dr Linamalini Mat Nafi dan Pendaftar KIAS, Ahmad Nazir Abdullah.

Dr Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Majlis KIAS berkata, penubuhan badan itu mempunyai matlamat sendiri untuk memartabatkan Islam.

“Kita gerakkan kesedaran kepimpinan kerajaan dan rakyat supaya memiliki iltizam tinggi serta ‘political will’ untuk memartabatkan Islam di negara ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -