Kelantan eksport kejayaan Gagasan OKU Muqarabun

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Gagasan OKU Muqarabun yang dilaksanakan di Kelantan sejak 15 tahun lepas dianggap berjaya membentuk Orang Kurang Upaya mempunyai penghayatan tinggi terhadap agama.

Ketua Duta OKU Kelantan, Mohammad Kufri Omar berkata, kejayaan itu merupakan satu lagi produk Kelantan yang akan dipromosi ke peringkat nasional.

Katanya usaha berkenaan disemarak lagi dengan pelantikan lapan ‘Duta OKU Kelantan’ yang dilancarkan baru-baru ini oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

- Advertisement -

Menurutnya, 15 tahun lalu kerajaan negeri merintis usaha untuk mempertingkatkan lagi kehidupan golongan tersebut melalui nilai-nilai agama Islam.

“Usaha itu berjaya mewujudkan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) pada 2013.

“Kita meneroka satu asas pembaharuan dalam pembangunan OKU, sebab di Kelantan bukan lagi mengenai cerita bantuan, tetapi kita mengutamakan pembangunan sahsiah OKU bermula pada 2006.

“Kumpulan OKU terbabit berupaya membawa suara OKU kepada kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya selepas menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga OKU di Kampung Pulau Pisang petang semalam.

Keluarga OKU terbabit juga disumbang wang tunai memandangkan kediamannya ditenggelami banjir.

Kufri yang juga Penyelaras OKU Parlimen Kubang Kerian berkata, sehingga kini pihaknya mempunyai kira-kira 50 jaringan seluruh negara yang akan memudahkan menyebar kejayaan gagasan OKU Muqarabun.

Menurutnya jaringan tersebut termasuk kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, parti kompenan Perikatan Nasional dan NGO.

“Kita ada 50 jaringan di seluruh negara, jadi oleh sebab itulah kita di Kelantan nak eksport produk kita ke negeri-negeri lain.

“Melalui Duta OKU Kelantan kita mahu serlahkan lagi pembangunan OKU yang berteraskan al Quran dan Sunnah dengan apa yang dilaksanakan di Kelantan sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -