Dong dilanda banjir, PAS Raub persiap bantuan

- Advertisement -

RAUB: Banjir yang berlaku berikutan hujan tanpa henti sejak 15 Disember lalu telah menyebabkan 35 mangsa banjir terpaksa berpindah ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Ulu Dong, di sini kelmarin dulu.

PPS tersebut adalah Balai Raya Kampung (Kg) Bukit Pampong menempatkan tiga mangsa; Balai Raya Pamah Kulat (3); Balai Raya Kg Keloi (7); Surau Kg Peruas (4); Balai Raya Kg Pamah Rawas (15) dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Putus (3).

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Tengku Shah Amir Dato’ Tengku Perang yang juga Pengarah JPrD Dong telah turun menyantuni mangsa di sekitar Kampung Pamah Rawas, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Pamah Rawas, Nazri Osman turut bersama beliau serta beberapa sukarelawan lain menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Tengku Shah Amir dalam pada itu menasihatkan para pengguna jalan raya agar berhati-hati kerana hujan menjadikan keadaan jalan lebih licin dan merbahaya selain dibimbangi pokok tumbang dan sebagainya.

Menurut beliau juga, Jabatan Amal Malaysia Raub dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut bersiap siaga untuk memberi sebarang bantuan kepada mangsa banjir dan pengguna jalan raya. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -