Singgah Warung seiring agenda pemulihan ekonomi

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota seiring menggerakkan agenda pemulihan ekonomi dilaksanakan kerajaan dengan memastikan usaha berkaitan terlaksana di peringkat masyarakat.

Antara inisiatif diadakan adalah menerusi program Singgah Warung yang diadakan khusus dalam menyemarakkan kebangkitan semula para usahawan kecil dalam kalangan penjaja atau peniaga makanan di bandar ini.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Indera Mahkota, Salbiah Seeni Abdul berkata, selain menyantuni pengusaha warung, mereka dapat mengetahui perkembangan perniagaan dan membantu promosi untuk menarik pelanggan.

“Ini adalah program (singgah) kali ke tiga. Kami dah buat dua kali di DUN Beserah dan ini kali pertama di DUN Semambu,” ujarnya semasa singgah di Warung Nasi Kukus Ya Habeeb, di sini baru-baru ini.

Pengusaha Nasi Kukus Ya Habeeb, Sharifah Fatimah Syed Aman, 64, dengan pengalaman bekerja di hotel selama lebih 20 tahun telah memberikannya keyakinan untuk memulakan perniagaan sendiri sejak dua tahun lalu.

Pun begitu ceritanya, belumpun sempat perniagaannya itu berkembang, negara telah mengalami pandemik COVID-19 menyebabkan warungnya terpaksa ditutup dan kembali memulakan semula dua bulan lalu.

Beliau juga menyuarakan mengenai kenaikan mendadak bahan mentah seperti sayur, telur ayam, ayam dan bahan mentah lain di mana turut menyebabkan kesukaran baginya untuk mendapatkan keuntungan. 

Keadaan ini menghimpit peniaga, selain terdapat juga persepsi dalam kalangan pembeli bahawa mereka sengaja menaikkan harga jualan dimana beliau mengharapkan agar kerajaan dapat segera bertindak.

Menu utama selain dari nasi kukus Ya Habeeb, juga terdapat laksam, lontong, nasi ayam lada hitam dan lain-lain yang menjadi hidangan di warung ini.

Ketua Pemuda PAS Indera Mahkota, Ustaz Zulfadli Zakariah yang turut bersama menyifatkan program ini mampu mengeratkan hubungan Muslimat PAS dengan masyarakat dan mengenal pasti masalah mereka.

Program berakhir dengan sedikit tazkirah mengenai kepercayaan khurafat yang perlu dihindari dan bacaan doa oleh Ustaz Zulfadli. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -