
DUA tahun yang lalu, Malaysia telah digemparkan dengan kematian mengejut seorang penuntut universiti Zulfarhan berpunca dari gejala buli. 90 tekapan seterika sudah cukup membuka mata kita untuk bangkit menghentikan gejala serius ini. Baru-baru ini, tular pula video buli sekumpulan remaja sekolah menengah menggunakan kekerasan yang menyebabkan kecederaan.
Barah buli dalam kalangan remaja ini jika dibiarkan dan tidak diambil tindakan sewajarnya akan menjadi satu normalisasi, satu kebiasaan yang bakal meruntuhkan akhlak pemuda pemudi tunjang negara. Bahkan, pasti kita tidak mahu peristiwa hitam kes pembulian yang boleh membawa maut itu berulang lagi. Rosak pemuda, runtuhlah negara.
Ameerah Kelantan menyambut baik seruan pucuk pimpinan Ameerah Pusat bagi mendidik anak lelaki menjadi qawwam, yakni kuat dalam melindungi diri dan insan sekeliling serta terkedepan dalam menjadi pembela keadilan. Bukan hanya melihat keganasan berlaku di depan mata begitu sahaja. Konsep pahala dan dosa, baik dan buruk, kasih sayang dan kemanusiaan mestilah terus diterapkan dalam diri anak-anak agar mereka bijak menilai kebaikan keburukan dalam setiap tindakan.
Justeru, kami menyeru kerjasama dari pelbagai pihak untuk membanteras budaya buli ini. Penerapan kefahaman semestinya bermula dari rumah dan pengawasan terus diperketatkan di sekolah agar pelajar sentiasa berasa selamat. Bersama kita berganding bahu sifarkan budaya buli, demi melahirkan generasi yang berakhlak, membudayakan nilai murni dan mengenal erti manusiawi.
Daripada Abu Sa’id al Khudri R.A berkata, aku mendengar Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”
[Riwayat Muslim (78)]
NIK NURASMA ZULYKHA NIK HASSAN
Pengarah Ameerah Kelantan – HARAKAHDAILY 16/12/2021
Sumber Asal: https://m.facebook.com/326928899229778/posts/377231374199530











