
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
BATANG LUPAR: Impian PAS untuk menimang kerusi sulung di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak menjadi harapan semua pihak.
Antaranya Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sarawak yang sanggup berkampung di Beting Maro bagi membantu kempen calon PAS Mohammad Arifiriazul Paijo.
Pengerusinya, Achau Anak Mujahh berkata, banyak pihak mengharapkan kemenangan berpihak kepada calon PAS dengan mengambil pengaruh parti itu semakin meluas di Beting Maro.
“Harapan DHPP Sarawak supaya muncul kerusi sulung PAS di Sarawak. Sebab itu, kita bertungkus lumus membantu kempen kali ini.
“DHPP Sarawak berkampung di sini, kita akan tunggu sehingga pengiraan undi pada 18 Disember Disember ini.
“Di Dun Beting Maro hampir sahaja satu lawan satu. Parti-parti lain itu tiada kekuatan, hanya PAS yang lebih nampak ada persaingan untuk bertanding dengan parti sedia ada,” ujarnya ketika ditemui di Bilik Operasi Utama N29 Beting Maro, Pusa, hari ini.
Menurutnya juga keputusan PAS bertanding di Dun Beting Maro bukan khayalan sebaliknya mempunyai ‘track’ rekod pencapaian yang baik setiap kali PRN Sarawak sejak 2001 hingga 2016.
Kata beliau di Beting Maro pertandingan lima penjuru namun nampak lebih terarah kepada satu lawan satu berdasar perkembangan yang berlaku sekarang.
“Pada pilihan raya lalu walaupun Parti Amanah Negara ada masuk bertanding, dia dapat 130 undi sahaja,” ujarnya.

Achau juga berkata, DHPP akan berusaha sedaya upaya untuk bertemu dan berjumpa dengan pengundi di rumah panjang bagi menarik sokongan mengundi calon N29 Beting Maro daripada PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Sarawak pada 18 Disember manakala mengundi awal 14 Disember. – HARAKAHDAILY 10/12/2021




















