Muafakat diseru PAS beragendakan Allah dan Rasul

- Advertisement -

KUALA NERUS: Seruan PAS kepada semua pihak kepada gagasan muafakat adalah dengan meletakkan asas yang cukup kukuh iaitulah di atas dasar akidah, iman dan takwa sebagaimana ditegaskan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, hari ini.

Perwakilan PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahari Mamat berkata, ajakan PAS berulang-ulang buat semua khususnya kepada umat Islam itu merupakan prinsip asas kepada muafakat yang diserukan dan menjadi sempadan serta memandu hala tuju.

“Maka tali Allah agama Islam itu merupakan antara teras yang menjadi panduan dasar kita yang kita tidak boleh tukar ganti dan dasar inilah yang insya-Allah Allah S.W.T akan memelihara dan memandu PAS yang insya-Allah kita tidak akan terjebak dengan tipu daya.

“Dalam isu ini juga kita sedia maklum bahawa gagasan yang kita bawa adalah bertemakan apa yang Rasulullah S.A.W dan Allah telah tetapkan buat kehidupan di atas muka bumi ini.

“Sebagai rahmatan lil alamin kerana itulah apa-apa agenda yang selain daripada Allah dan Rasul, hendaklah dikemudiankan. Jangan ada apa- campur tangan agenda peribadi demi untuk menegakkan apa yang diperintah dan disyariatkan oleh Allah,” tegasnya.

Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

Tegas belia ucapan dasar diletakkan Presiden cukup jelas supaya semua pihak meletakkan Allah dan Rasul di hadapan dan insya-Allah dunia pasti menuruti setiap ketetapan telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

Dalam masa yang sama katanya, penyatuan ini juga mengambil kira waqi’ semasa apatah lagi negara ini majoritinya Melayu-Islam dan memberi keutamaan untuk menyatuan ummah dengan meletakkan dasar Islam dan masyarakat Melayu sebagai teras.

Beliau memetik usaha dilaksanakan Rasulullah S.A.W ketika membina negara Madinah yang meletakkan seluruh latar belakang dan perbezaan yang ada di bawah satu payung pemerintahan. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -