Tema muktamar sangat tepat pada masa

- Advertisement -

KUALA NERUS: Tema ucapan dasar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi iaitu Islam Menyatukan Ummah adalah semasa yang sangat tepat pada masanya bukan sahaja dalam konteks politik nasional malah politik internasional.

Perwakilan dari Sabah, Ustazah Sofia Salin berkata saat ini Dunia Islam masih lagi berada dalam keadaan terumbang ambing kesan daripada perancangan musuh Islam dan kelemahan umat Islam itu sendiri.

Menurutnya, perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam masih berterusan dalam pelbagai sudut; bangsa, mazhab dan puak.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang bertemakan Islam Menyatukan Ummah di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

- Advertisement -

Di samping itu, ujarnya Dunia Islam berdepan dengan cabaran-cabaran semasa seperti kemunculan kuasa-kuasa dunia baru yang mencabar hegomoni Amerika Syarikat.

“Keadaan ini memerlukan Dunia Islam untuk membina kesatuan ummah bagi mengembalikannya sebagai kuasa yang pernah mendominisi dunia satu ketika dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata, ditambah pula United Arab Emirates (UAE), Bahrain dan Sudan telah mengkhianati umat Islam dan dunia Islam kerana telah menjalinkan hubungan dengan musuh nombor satu umat dan dunia Islam iaitu Israel dan sekutunya.

“Kita juga berharap agar kerajaan Malaysia lebih proaktif, prihatin dengan konflik di Sudan yang telah merugikan rakyatnya sendiri serta asset milik Malaysia di sana agar dapat dipertahankan untuk kepentingan ummah.

Oleh itu, tambah beliau umat dan dunia Islam perlu bangkit menentang pengkhianatan tersebut.

Menurutnya lagi, jika dibiarkan berlarutan maka akan kaburlah kekuatan dan masa depan umat kerana pihak musuh senantiasa menanti peluang dan ruang untuk menghancurkan terus saki baki kekuatan mahupun kesatuan yang ada.

Tambahnya, saranan Presiden PAS dalam memposisikan parti itu sebagai pencetus untuk menyatukan umat Islam di rantau ini dan Dunia Islam umumnya adalah sangat bersesuaian dengan keperluan semasa pada hari ini.

Beliau juga mengambil peluang untuk memberikan beberapa cadangan kepada kepimpinan, antaranya memposisikan Presiden PAS sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah hendaklah digunakan sebaik mungkin bagi mengeksport idea penyatuan ummah ke Dunia Islam khususnya Timur Tengah.

Di samping, katanya PAS mestilah mendesak kerajaan Malaysia agar menjadi pemain utama dalam menyelesaikan konflik-konflik yang berlaku di Dunia Islam seperti Palestin, Kashmir dan Afghanistan berteraskan konsep perpaduan ummah.

PAS mestilah mendesak kerajaan Malaysia agar menjadi pemain utama dalam menyelesaikan konflik-konflik yang berlaku di Dunia Islam seperti Palestin, Kashmir dan Afghanistan berteraskan konsep Perpaduan Ummah.

Selain itu ujar beliau, agenda Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah yang pernah beberapa kali diadakan di Terengganu dan Kelantan diteruskan walaupun dengan skala kecil bagi mencetuskan momentum kesedaran wehdatul ummah, wehdatul fikr dalam kalangan masyarakat Islam antarabangsa, contoh seperti Ijtima Perpaduan Ummah Nusantara memupuk perpaduan dan kesefahaman negara-negara terlibat di bawah acuan Islam.

PAS juga, ujarnya perlu mengeratkan hubungan dakwah dan ukhwah sesama saudara serumpun Nusantara termasuk Filipina yang setiap hari ribuan rakyatnya yang dahagakan hidayah kembali kepada agama fitrah.

“Oleh itu, melalui Lajnah antarabangsa, NGO-NGO kita disarankan agar mencarikan dana bagi membiayai aktiviti dakwah dan kebajikan seperti mana yg pernah disalurkan kepada Palestin, Syria dan lain-lain.

“Jika Islam di Timur tengah semakin lunak dengan Israel dan hilang jati dirinya, maka Islam di Nusantara ini perlu diperkasakan kebangkitannya,” katanya secara atas talian. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -