
KUALA NERUS: Islam hendaklah menjadi garis panduan dalam setiap muafakat politik yang dibentuk sekarang bagi mengelakkan terjebak dengan tipu daya.
Perwakilan Terengganu, Saiful Bhari Mamat berkata, pakatan politik perlu meletakkan dasar aqidah, iman dan ketaqwaan sebagai perkara utama.
Katanya, muafakat tersebut sebagai penerusan dengan mengambil kira gagasan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
“Jangan ada campur tangan agenda peribadi yang menyimpang daripada apa yang ditegak dalam Islam. Penyatuan politik hendaklah mengambil kira waqib semasa berpandukan orang Melayu sebagai majoriti penduduk di negara ini.
“Begitu juga pakatan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan meletak asas aqidah dalam setiap kerjasama yang diadakan,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden pada muktamar di Duyung Resort hari ini.
Selain itu kata beliau yang juga anggota Exco kerajaan Terengganu kerjasama perlu meletak teras dengan merujuk kerangka perlembagaan negara dalam masyarakat yang berbeza budaya dan agama.
Menurutnya juga elemen-elemen tersebut hendaklah menjadi perhitungan di peringkat pimpinan PAS demi masa depan dan jangka panjang.
Satiful juga berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan memperlihatkan hala tuju yang jelas kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada masa akan datang.
“Apakah masa hadapan MN mahu pun Perikatan Nasional (PN) mampu menerajui kuasa politik orang Melayu pada masa akan datang.
“Sebagai contoh di Terengganu PAS memiliki 23 kerusi manakala BN pula 10, namun Umno masih mengambil kira kerusi-kerusi sedia ada.
“Mereka meletak harapan untuk kembali memerintah di Terengganu,” katanya.
Beliau juga turut mencadangkan PAS memperkasakan hubungan dengan NGO. – HARAKAHDAILY 6/11/2021











