
APABILA kita menyebut nama negara Belanda, mungkin ramai yang teringat mengenai bola sepak. Negara tersebut telah mempelopori ‘Total Football’ pada tahun 70-an. Dengan pemain-pemain seperti Johan Cruyff, Johan Neeskens dan Johnny Rep mereka telah menjadi naib juara Piala Dunia dalam tahun 1974 dan 1978. Mereka sekali lagi menjadi naib juara dalam tahun 2010 di Afrika Selatan. Kapten pasukan Kebangsaan mereka Virgil van Dijk adalah pemain utama Liverpool.
Saya bukanlah pakar mengenai bola sepak Belanda atau negara Belanda. Mungkin ramai dari kita tidak mengetahui banyak perkara mengenai negara itu. Yang kita tahu mereka adalah penjajah yang cukup kejam dan zalim. Di Nusantara mereka dikenali sebagai bangsa yang pandai menipu sehingga ada peribahasa, ‘seperti Belanda minta tanah’.
Saya pernah tiga kali sampai di negara tersebut. Kali pertama dan kedua adalah dalam tahun 80-an ketika masih menuntut di UK. Kali ketiga adalah dalam tahun 2011 di mana saya telah singgah di Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam dalam perjalanan ke Helsinki, Finland. Ketika kapal terbang hendak mendarat pada waktu subuh yang masih gelap, saya dapat melihat ‘rumah-rumah hijau’ atau ‘greenhouse’ yang diterangi oleh lampu-lampu di sekitar kawasan lapangan terbang.
Ketika itu musim sejuk, di dalam ‘greenhouse’ yang terang dan panas itu mereka bercucuk-tanam. Para petani dapat mengawal cahaya, suhu dan bekalan air supaya mereka mendapat hasil-hasil pertanian sepanjang tahun. Begitu berusahanya orang Belanda. Di Malaysia, kita mendapat bekalan air dan cahaya matahari yang mencukupi tetapi masih terdapat banyak tanah-tanah yang terbiar. Kita dianugerahkan dengan pelbagai nikmat tetapi ada yang tidak tahu menggunakannya.
Melihat usaha orang Belanda itu maka tidak hairan mereka dapat menjajah Indonesia yang berkali-kali ganda lebih luas dari negara mereka. Malah Belanda bukan sahaja negara yang kecil tetapi sebahagian dari negara itu adalah di bawah paras laut. Mereka terpaksa membina tembok-tembok di tepi laut untuk mengelakkan negara mereka dari ditenggelami air. Jika tembok-tembok itu pecah maka sebahagian besar negara itu akan tenggelam.
Anda mungkin pernah mendengar cerita rakyat negara itu mengenai seorang kanak-kanak yang terjumpa dengan satu lubang kecil pada salah satu tembok tersebut. Air laut sedang mengalir mencurah-curah dari lubang yang dijumpainya.
Budak itu perlu melakukan sesuatu sama ada untuk meminta tolong atau menyumbat lubang itu. Sekiranya beliau pergi mendapatkan pertolongan, lubang tersebut mungkin akan membesar dan terus membesar. Akhirnya tembok itu akan pecah dan seluruh bandar akan ditenggelami air.
Beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menyumbat lubang itu dengan ibu jari beliau sehingga ada orang yang tiba. Kanak-kanak itu mungkin kesejukan atau kelaparan tetapi sekiranya beliau tidak menyumbat lubang itu, kemungkinan besar ramai yang akan terkorban.
Menurut cerita, budak itu telah menyumbat lubang itu semalaman hingga ke esok pagi apabila beliau dijumpai oleh penduduk bandar yang keluar mencarinya. Ketika itu beliau sedang kesejukan dan kelaparan.
Keadaannya tidak ideal. Jika beliau seorang dewasa atau tidak kelaparan atau telah bersiap sedia dengan pakaian yang sesuai, sudah tentu beliau dapat bermalam dengan lebih selesa. Keadaan yang tidak ideal seperti ini seringkali akan wujud di dalam kehidupan.
Ramai di antara kita yang mungkin akan berhadapan dengan keadaan yang sama seperti kanak-kanak tersebut. Anda mungkin terpaksa memikul satu tanggungjawab walaupun anda merasakan diri anda tidak mampu. Keadaannya juga tidak ideal sepertimana keadaan budak tersebut. Tetapi adakah anda akan lari dari tanggungjawab atau menerima cabaran seperti budak Belanda yang telah berjaya menyelamatkan sebuah bandar?
Sebagai seorang aktivis akar umbi anda pasti akan berhadapan dengan keadaan yang tidak ideal ini. Mungkin anda bukan orang yang paling layak untuk memimpin sahabat-sahabat dan masyarakat. Walau bagaimanapun apabila anda melihat di sekeliling anda, tidak ada yang sanggup. Mungkin ada yang lebih berilmu, kehidupan mereka lebih selesa atau kesihatan mereka lebih sempurna tetapi mereka sedang lena dibuai mimpi.
Justeru itu apa yang harus anda lakukan? Adakah anda akan juga menarik selimut dan turut melangkah ke alam yang sama seperti mereka? Atau anda akan menerima cabaran ini sepertimana budak Belanda yang sanggup menahan kesejukan dan kelaparan itu?
Kita mesti sentiasa yakin bahawa Allah akan membantu mereka yang membantu agama Allah. Walaupun dari penilaian dengan mata kasar seseorang itu kelihatan lebih layak tetapi pada hakikatnya jika Allah telah memilih anda maka ini adalah kelayakan yang paling utama. Jangan pula menunggu sehingga anda menjadi kaya atau mempunyai banyak masa lapang atau sembuh dari semua penyakit kerana anda mungkin tidak akan mendapat peluang kedua. Jangan menunggu sehingga tembok pecah dan air laut mencurah masuk. Sentiasa bertanya kepada diri anda, jika tidak anda siapa lagi?
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bendahari PAS Pusat
5 November 2021 – HARAKAHDAILY 5/11/2021
Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000270189106/posts/4842383972447228/




















