Umat Islam perlu yakin setiap penyakit ada penawar

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Bencana yang berlaku sekarang merupakan peringatan daripada Allah Taala yang wajar dijadikan pengajaran kepada seluruh umat manusia.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, bahawa setiap makhluk termasuk manusia tidak akan terlepas daripada kekuasaan Allah.

Katanya umat Islam perlu yakin sesuatu penyakit yang diturunkan Allah Taala ada ubat untuk menyembuhkan penyakit.

- Advertisement -

“Contohnya seperti virus Covid-19 yang Allah turunkan ketika ini, ia merupakan penyakit diturun Allah dan bukan dari Jepun atau China tetapi Allah datangkan penyakit itu bersama penawarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam tulisan terbaharu mengajak umat Islam melakukan muhasabah diri dan kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat dan melakukan islah (pembaikan).

Di samping itu manusia berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bencana kerana kebanyakannya berpunca daripada kesalahan manusia sendiri yang rakus mengikut hawa nafsu, sehingga merosakkan diri dan alam sekitar.

Bencana Covid-19 mulai menular pada Disember 2019 dikatakan berpunca daripada sebuah pasar di Wuhan, Hubeui, China.

Manakala di Malaysia, kes Covid-19 yang pertama dikesan pada 23 Januari 2020 membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Ekoran itu hampir semua negara membuat kawalan pergerakan untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 seperti dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Malaysia juga tidak terkecuali di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 sehingga kini melalui beberapa fasa.

Tuan Guru Hashim berkata, setiap orang Islam perlu pergantungan kepada Allah di samping berikhtiar mencari solusi terbaik setiap ujian yang datang. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

- Advertisement -