
PORT DICKSON: Masa depan usaha dakwah Islamiyah mesti diyakini oleh abnaul harakah bahawa ia akan membuahkan hasil apabila Allah S.W.T menentukan sampainya detik waktu kejayaan tersebut.
Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mahfuz Roslan menyeru agar Pemuda PAS terus istiqamah menggerakkan dakwah ke lapangan masyarakat hingga tercapai cita-cita Islam dibawa PAS.
Beliau sebagai perwakilan tuan rumah berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Corus Paradise Resort, di sini semalam.
Menurutnya, di setiap negeri mempunyai masyarakat berbeza serta menuntut Pemuda berdakwah dengan pendekatan pelbagai untuk bersama mereka termasuk umur berlainan mesti disantuni.
Juga katanya, setiap kelompok pula berada di lokasi mereka di mana Pemuda perlu memasuki setiapnya termasuk di kedai-kedai kopi atau warung yang boleh menjadi tempat menyebarkan dakwah.
Beliau mengingatkan bahawa usaha-usaha dakwah itu sendiri menjadi antara persiapan pilihan raya di mana pengalaman undi pilihan raya diperolehi PAS di negeri ini menjadi petunjuk hasilnya.
Jelasnya, walaupun dalam data keahlian menunjukkan PAS di negeri ini hanya memiliki jumlah tertentu, tetapi setiap kali PRU undi diperolehi jauh lebih banyak dan ia dilihat semakin bertambah.
Tegas beliau, pengisian terpenting dalam usaha dakwah adalah seruan kepada kebajikan iaitu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran di mana Allah menjanjikan keberuntungan.
“Perjuangan ini kita nak cari satu keberuntungan iaitulah di sisi Allah S.W.T. Bagaimana kita nak mencari keuntungan ini? Allah dah beri satu line, kita ini kena jadi golongan umat yang menyeru kepada kebajikan.
“Menyeru segala kebaikan, menyeru kepada segala apa yang nak menyuruhkan manusia supaya dekat dengan Allah Taala. Ini perlu kita tanam dalam jiwa kita dalam diri kita dan masa yang sama juga kita kena mencegah kemungkaran yang ada.
“Kalau hanya semata-mata kita nak sampaikan benda makruf tapi tidak cegah daripada perkara-perkara yang mungkar maka dia tidak mencapai tahap keuntungan yang sebenar iaitu hakikat di sisi Allah S.W.T.
“Kita sebagai Pemuda yang beriman kepada Allah, wajib yakin. Yakin yang bagaimana? Iaitu secara jazam di sisi Allah S.W.T bahawa jawatan yang kita pegang hari ini, hakikatnya daripada Allah atas kekuasaan dan kudrat Allah S.W.T,” peringatnya.
Dalam kupasan itu beliau menasihat setiap taklifan yang diterima mesti disusuli dengan memohon nasihat daripada kalangan orang penting seperti ibu bapa, guru dan lain-lain kerana ia juga adalah dakwah.
Iaitu terangnya, merupakan tuntutan hablumminannas dan sudah sewajibnya para rijaluddakwah dan rijaluddaulah juga memenuhi diri dengan aspek hablumminallah.
“Kita berfikiran muda, kita ada akal fikiran yang luas, ada perancangan, ada idea yang sebegitu pelbagai. Tetapi ingat, pasti ada orang di sebelah kita, kiri kanan atau belakang yang menasihati agar jalan kita betul-betul yang terbaik di sisi Allah S.W.T.
“Kita mesti meletakkan jiwa kita ini benar-benar di dalam landasan yang betul untuk mempertahankan dan memperjuangkan agama Allah.
“Sesi yang akan datang ini bukan sesi yang begitu mudah. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu kita hadapi untuk kita kata nak menangi Putrajaya.
“Nak menjadikan negara Malaysia ini yang kita pimpin dalam suasana mengikut landasan Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Cabaran yang begitu besar,” peringatnya agar tidak alpa. – HARAKAHDAILY 31/10/2021











