
PORT DICKSON: Para Pemuda PAS selaku pendukung gerakan Islam perlu selalu membaca al-Quran serta melakukan qiyamullail sebagai persiapan diri menghadapi politik sangat mencabar di kemudian hari.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, amalan itu adalah bekalan untuk kekuatan menempuh politik yang dijangkanya akan lebih sukar selepas ini di semua peringkat.
Menurutnya, PAS bukan sahaja perlu mengurus agenda penyatuan ummah telah digagaskan melibatkan parti-parti dan banyak NGO Melayu-Islam lain, tetapi juga usaha musuh yang mahu menggagalkannya.
Amanat itu dinyatakannya sebagai pesanan pada mesyuarat terakhir Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia di Corus Paradise Resort, di sini kelmarin.
“Tak kan sehari tak boleh dapat satu juzuk (bacaan al-Quran)? Tak boleh ke kita bangun malam pukul 5 pagi buat beberapa rakaat?” muhasabah beliau yang terus menyuntik motivasi perjuangan anak-anak buah pimpinannya.
Beliau yang mengumumkan tidak mengekalkan jawatannya mahu Pemuda PAS terus menjadi ejen parti dalam memperkukuhkan agenda penyatuan ummah di mana masih perlu diperteguhkan.
Beliau menjangkakan cabaran politik akan lebih sukar selepas ini baik dalam hubungan muafakat dengan rakan-rakan PAS sebelum dapat mencapai kemenangan teguh, selain dari gerakan lawan politik yang telah sedia bertentang.
Menurutnya, polemik dalaman yang ada perlu diuruskan dengan kekuatan dari roh amalan seperti dinyatakannya itu, selain memastikan mampu berdepan cabaran koalisi lawan untuk menyekat usaha tersebut.
Khairil juga mencadangkan supaya Pemuda memperbanyakkan sesi permukiman untuk sentiasa memperkemas dan menyegarkan pergerakan semasa dalam kelangsungan perjuangan.
Exco Pemuda Pusat juga dinasihatnya memainkan peranan lebih luas kerana mereka bertanggungjawab ke atas semua 14 negeri dengan membumikan idea dan tidak hanya mengikuti semata-mata. – HARAKAHDAILY 31/10/2021











