Persiapan dalaman yang akan membantu kemenangan PAS

- Advertisement -

PORT DICKSON: Pemuda PAS perlu sentiasa membawa elemen sebagai mediator dan bukannya provokator serta teguh memegang prinsip utama dalam menjalankan persiapan dan gerak kerja pilihan raya.

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Mujahidul Amin Roslan mencerakinkan persiapan tersebut kepada aspek dalaman dan luaran untuk diteliti para Pemuda PAS agar berupaya meraih kemenangan.

Beliau berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda dalam Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Dewan Rembau, Corus Paradise Resort, di sini sebentar tadi.

“Yang pertama kami ingin menegaskan anak-anak dan ahli keluarga pimpinan ahli dan penyokong PAS mestilah dipastikan bersama dengan perjuangan PAS. Anak isteri dan ahli keluarga merupakan circle yang paling penting.

“Yang merupakan tunjang tulang belakang kepada semua kita. Jika tulang belakang tunjang tulang belakang ini rapuh, mana mungkin dapat menampung beban beratnya perjuangan yang sedang kita pikul pada hari ini.

“Maka kerana itu, kami ingin menekankan kami ingin mengingatkan jangan ada di kalangan kita sama ada pimpinan ini yang mana isteri ataupun anak-anak kita mengambil sikap sepertimana sikap anak dan juga isteri Nabi Nuh A.S.

“Ketika mana diajak untuk naik ke bahtera bila mana Allah menurunkan bala bencana banjir besar, apa jawapan anak dan juga isteri Nabi Nuh ketika mana diajak untuk naik ke bahtera?

“Mereka menjawab, pergilah kamu bersama dengan bahtera itu, kami akan cari tempat selamat sendiri. Inilah yang kita bimbangkan di saat kita bersengkang mata pada malam ini, yang berkorban wang ringgit untuk datang ke sini, ada yang berhempas tenaga merancang strategi.

“etapi bila mana hari pengundian, anak dan isteri berada di pondok panas parti lawan. Inilah yang kita bimbangkan, inilah yang kita sedihkan,” nasihat beliau.

Peringat beliau keluarga juga mesti didekatkan dengan perjuangan PAS dengan anak-anak dipastikan bersama perkaderan Jabatan Pembangunan Pelajar, manakala isteri-isteri bersama Muslimat.

Beliau juga berharap Pemuda memberi fokus dan ruang mencorak agenda tajdid dalam mencetak generasi pelapis dengan perhatian terhadap silibus pentarbiyahan.

- Advertisement -

Perwakilan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Abdul Azim Abu Ziden dalam kupasannya mengenai mencetak kepimpinan Pemuda mengingatkan supaya sentiasa berada dalam ‘Gelembung Tarbiyah’.

“Maka jadi tanggungjawab seluruh kepimpinan pemuda yang sedia ada di pelbagai peringkat untuk memastikan ahli-ahlinya sentiasa siap siaga mengikuti program tarbiyah yang diatur mengikut manhaj yang telah ditetapkan.

“Dari sudut berbeza dan badan pelaksana program tarbiyah di dalam organisasi pemuda seperti AKP dan lain-lain perlu lebih efektif menggerak serta menyemarakkan aktiviti tarbiyah dalam pelbagai perspektif yang boleh mendorong keberhasilan kualiti Pemuda,” ujarnya.

Peringat beliau juga supaya ruang-ruang tarbiyah yang ada perlukan persegaran sesuai dengan pendekatan anak-anak muda generasi digital dan juga data terbuka dengan meneroka platform baharu serta lainnya.

Kemuka beliau, organisasi tarbiyah wajar untuk lebih terbuka seperti membudayakan wacana dan pandangan-pandangan kritis tanpa menggadaikan prinsip asas tarbiyah harakiyah yang dijunjung selama ini.

“Sistem pentarbiyahan kita juga perlu dimurnikan melalui teras disiplin ilmu yang mendorong kader-kader jemaah ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti kefahaman Islam termasuklah mendalami kaedah dan seni dakwah Nabi S.A.W.

“Kedua, kepimpinan pemuda wajib menjadi lebih versatile dan sentiasa dinamik. Versatile bukan fragile, dinamik bukan retotrik,” ujarnya mengingatkan juga mengenai cabaran kerjaya. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -