Strategi dakwah Nabi Ibrahim A.S dari perspektif al-Quran

KRITERIA orang yang mengaku membawa ajaran Nabi perlu memimpin umat. Buktinya mereka mampu mempertahankan kebenaran apabila masyarakat bergelut dengan sesuatu isu atau kekeliruan. Bukan hanya setakat tersohor mendendangkan isi-isi yang tidak menjadi keperluan umat masa kini.

Maqasid dakwah itu sepatutnya menjadi penyelesaian masalah dasar dan kontemporari mengikut zaman. Bukan sekadar motif menyenangkan hati mad’u.

Menyentuh berkenaan segmen dakwah anak muda, al-Quran telah memaparkan beberapa kisah contoh terbaik yang boleh menjadi pedoman merentasi zaman. 

Advertisement

Dua elemen

Keistimewaan perjuangan sirah Nabi Ibrahim A.S ketika berumur belasan tahun (pemuda) bukan hanya terletak pada nama bahkan padu pada kualitinya.

Tunjang kekuatan dakwah baginda ada pada dua elemen yang sangat penting iaitu akhlak peribadi yang ditonjolkan serta hujah ilmu yang dibawa:

وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا بِهِ عَالِمِينَ

“Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah kebenaran sebelum (Musa dan Harun), dan adalah Kami mengetahui (keadaan)nya.”

Nabi Ibrahim bukan sahaja seorang yang alim iaitu menyebut kebenaran bahkan juga dikurniai sifat Rusyd iaitu bijak berhujah yang mampu mengubah cara fikir orang lain.

Tersekularisasi

Modal utama dakwah ialah ilmu. Dengan ilmu, intipati Islam boleh disampaikan dengan jelas. Malangnya hari ini dakwah difahami sekadar amal gerak kerja. Tanpa mengira apa isi yang perlu dibawa dan dicerahkan. Seolah-olah ilmu dan amal telah tersekularisasi secara diam.

Penguasa zaman 

Ketika telah tiba waktu pesta hiburan diadakan, Nabi Ibrahim menolak untuk menghadirkan diri ke tempat tersebut. Malah, baginda menggunakan kesempatan itu untuk memecahkan berhala-berhala sebagai langkah strategi merobohkan kejahilan kaumnya.

Nilai selaku anak muda, baginda tidak mudah terpengaruh dengan suasana atau trending masyarakat pada zaman itu. Sebaliknya merancang strategi yang boleh membawa hujah mengikut logik aras masyarakat. Baginda membuktikan dalam konsep berdakwah, tidak perlu menjadi pengikut zaman tetapi perlu kepada penguasa zaman.

Apa berhala yang kamu sembah

Jika dahulu yang menjadi pemujaan orang-orang jahil ialah patung-patung yang langsung tidak mempunyai kuasa. Kini, mungkin berhala yang kita puja itu ialah peranti peribadi, material dan perhatian manusia. Hingga Islam hanya tinggal sebagai slogan. Ilmu dikesampingkan.

Andainya Nabi Ibrahim A.S masih hidup dan hadir ke arah kita saat ini, tidakkah malu baginda berkata dengan nada keras:

مَا هَٰذِهِ التَّمَاثِيلُ الَّتِي أَنتُمْ لَهَا عَاكِفُونَ

“Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?” 

Semoga segala tindakan dan ilmu kita terhindar dari sasaran fitnah terhadap Islam.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 21/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.