RMK-12: Isu-isu setempat di Dungun diberi perhatian

- Advertisement -

SAYA telah diberi peluang oleh Parlimen untuk berbahas berkenaan Rancangan Malaysia Ke-12 pada 4 Oktober 2021. Bagi memastikan rakyat Parlimen Dungun tidak ketinggalan menikmati hasil laba dari RMK-12, saya membangkitkan beberapa permasalahan di Dungun dalam perbahasan saya untuk diberi perhatian dalam rancangan pembangunan terbesar di dalam negara kita ini.

Antara isu yang dibangkitkan adalah berkenaan kepadatan bilangan pelajar yang tinggi di Sekolah Kebangsaan Sura yang terpaksa mengamalkan sesi persekolahan pagi dan petang bagi menangani masalah ini. Oleh itu, bagi mengurangkan kesesakan bilangan pelajar, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk membina sekolah kebangsaan yang baru berdekatan Sekolah Kebangsaan Sura dalam masa terdekat ini bagi memudahkan proses pembelajaran anak-anak ini di kemudian hari.

- Advertisement -

Yang kedua, isu perkembangan pembinaan hospital baharu di Dungun. Hospital baharu Dungun yang telah mula dibina sejak tahun 2016 perlu disiapkan dengan kadar segera kerana tarikh siap asal sepatutnya adalah pada 22 Februari 2019. Memandangkan hospital ini masih belum siap dibina, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan susulan atau pembedahan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau Hospital Kemaman. Situasi ini sangat menyulitkan kerana rakyat Dungun memerlukan perhatian segera dan hospital lama pula telah mengalami kesesakan pesakit yang kritikal sejak sekian lama lagi-lagi ketika kita masih diuji oleh pandemik COVID 19.

Keempat, saya juga mencadangkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk membina Bangunan Gunasama Persekutuan di Parlimen Dungun. Saranan saya ini dicadang kerana bangunan gunasama ini sangat penting untuk rakyat dapat akses perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan yang penting dalam satu tempat. Contohnya, pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Dungun terletak jauh dari pejabat-pejabat Persekutuan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Kelima, saya juga bertanyakan berkenaan projek pembinaan benteng pemecah ombak di muara-muara sungai yang terletak di Parlimen Dungun yang telah dirancang sejak RMK-11. Pembinaan benteng ini diperlukan bagi memudahkan bot-bot nelayan dan bot-bot pelancong yang keluar masuk di muara ketika mencari rezeki. Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan benteng ini kerana sudah berlaku kes kematian rakyat Dungun kerana ombak yang sangat deras di muara-muara sungai ini.

Justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang diutarakan oleh saya secara serius dalam usaha memastikan menjaga kebajikan rakyat Dungun diteruskan. Saya juga berharap segala usaha yang dirancang dalam RMK-12 dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin sesuai dengan situasi semasa negara kita menuju ke arah suasana endemik.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -