KASA laksana pelbagai langkah elak sungai tercemar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sentiasa berusaha untuk memastikan sungai yang menjadi sumber air tidak tercemar.

Menterinya Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kata beliau agensi berkenaan melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi menyediakan pelan cadangan menangani isu-isu strategik lembangan sungai.

Katanya ia menjadi rujukan kerajaan negeri dalam merancang pembangunan supaya selari dengan matlamat pemeliharaan kelestarian alam sekitar.

- Advertisement -

“Selain itu melaksanakan Program Pembangunan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) bagi menangani masalah pembuangan sisa secara haram.

“Program DSK berperanan meningkatkan cakna masyarakat terhadap pemuliharaan sungai. Sejak 2020, lebih 400 km denai dibina berdasarkan perancangan dan peruntukan yang diluluskan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Nuing Jeluing di Dewan Negara hari ini.

Sebelum itu Dr Nuing meminta penjelasan kerajaan dalam usaha melindungi sumber air yang berpotensi tercemar akibat sisa-sisa pepejal dan aktiviti pembalakan.

Tuan Ibrahim juga berkata, kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dengan pemeriksaan berkala ke atas premis-premis yang menghasilkan buangan seperti efluen, sisa toksik berbahaya melalui operasi bersepadu.

“Melaksanakan operasi khas seperti Ops Gempur secara berfokus mencari punca-punca pencemaran, sektor atau jenis industri tertentu di kawasan tumpuan yang mempunyai risiko berlaku pencemaran.

“Selain dari itu, pemantauan melalui rondaan dan dron di kawasan-kawasan berisiko berlaku pencemaran juga dipertingkatkan;

“Kerajaan juga melaksanakan program kesedaran kepada orang awam, pihak industri dan pihak pemaju projek pembangunan terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar,” ujarnya.

JAS juga mengawal pencemaran yang berpunca daripada aktiviti pembalakan dengan memastikan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diperolehi sebelum sebarang aktiviti pembalakan dijalankan.

Perkara itu tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Menurut Tuan Ibrahim langkah pencegahan dan kawalan pencemaran yang berkesan seperti yang ditetapkan dalam syarat-syarat kelulusan Laporan EIA hendaklah dipatuhi bagi memastikan tiada pencemaran alam sekitar yang berlaku semasa projek dilaksanakan. – HARAKAHDAOLY 5/10/2021

- Advertisement -