Covid: Kelantan peruntuk RM100,000 bantu atlet terjejas

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Sebanyak RM100,000 diperuntuk kerajaan Kelantan bagi membantu atlet, bekas atlet serta persatuan sukan di negeri itu yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, selain itu sumbangan bakul makanan juga diberi kepada golongan terbabit.

- Advertisement -

“Kita bersama jabatan berkaitan dan Urusetia Belia dan Sukan menyantuni atlet dan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada amereka yang terjejas.

“Jumlah peruntukan itu hampir RM100,000 disediakan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Hijrah 1443 dan Bulan Kemerdekaan 2021 di sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.

Kata beliau juga pihaknya menghantar seramai 335 sukarelawan ke 23 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Kelantan bagi membantu kelancaran program vaksinasi Covid-19.

Wan Roslan juga berkata, kerajaan negeri tetap membantu golongan atlet dan belia sehingga wabak Covid-19 yang berlaku sekarang pulih sepenuhnya.

“Sekiranya Kelantan Kelantan beralih dari Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke 3, kami komited meningkatkan latihan atlet sebagai kesiapsiagaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, tahun depan,” ujarnya.

Selain itu kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan lagi persatuan-persatuan sukan sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukma pada 2026. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -