DPIM harap kabinet baharu bertindak pantas, bersepadu

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyambut baik pengumuman kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dalam usaha menjayakan agenda besar pemulihan negara. 

Ketuanya, Shahir Adnan berkata keutamaan yang digariskan agar setiap kementerian perlu membuktikan prestasi mereka dalam tempoh seratus hari menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda ‘kabinet berprestasi tinggi’. 

- Advertisement -

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap kabinet baharu ini bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada terus diselubungi pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik. 

“Ketiga-tiga perkara ini perlu menjadi teras utama dalam usaha memacu negara ke arah yang lebih sejahtera. Peluang kedua ini diharapkan tidak disia-siakan oleh kepimpinan kabinet baharu agar pengalaman mereka sebelum ini dijadikan ‘lesson learned’ atau belajar dari pengajaran terdahulu,” katanya.

Tambah Shahir, pihaknya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti PAS yang terpilih dalam pelantikan jemaah menteri baharu.

“Tahniah terutamanya diucapkan kepada Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang diberikan kepercayaan untuk terus mengemudi Kementerian Alam Sekitar dan Air, berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam kabinet lepas. 

“Tahniah juga kepada Senator Ustaz Idris Ahmad yang diberikan kepercayaan untuk mengemudi Jabatan Perdana Menteri (Agama),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ iaitu pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Shahir berkata, rakyat berharap sektor ekonomi dapat dijana dengan baik selaras dengan kesinambungan Menteri Kewangan yang dilantik. 

“Bantuan kewangan yang dijanjikan kepada rakyat dan kabinet yang lepas juga perlu diteruskan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan ini bukan kabinet perang yang kecil, semua Menteri dan Timbalan Menteri perlu peka kepada keperluan rakyat dan prestasi kerja. 

“Seratus hari dari sekarang akan dinilai oleh rakyat. Prestasi kerja kalian adalah penentu kejayaan atau kegagalan kabinet ini. 

“Prestasi kerja adalah kayu pengukur terbaik kepada kabinet Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.- HARAKAHDAILY 27/8/2021

- Advertisement -