
Oleh YUSMAN AWANG
SUDAH hampir kira-kira dua tahun lamanya, negara kita ini sudah ‘dijajah’. Bukan dijajah kuasa asing tetapi oleh pandemik Covid-19.
Ia adalah ekoran gelombang pertama virus maut tersebut yang tercetus pada 25 Januari 2020, melalui kes pertama jangkitan virus membabitkan tiga warga negara China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.
Sejak itu dan sehingga semalam, 26 Ogos 2021 yang menunjukkan kes jangkitan baharu harian tertinggi dicatat pada jumlah 24,599 kes, kerajaan dengan kabinet baharu yang baru diumumkan pada hari ini, 27 Ogos 2021 bersama seluruh rakyat jelata, jelas sekali sedang berada dalam perjuangan sengit untuk ‘memerdekakan’ negara ini daripada penjajahan Covid-19.
Justeru, merujuk kepada sambutan kemerdekaan negara yang bakal disambut dalam beberapa hari lagi menjelang 31 Ogos ini, boleh diandaikan Malaysia ibarat seorang warga emas yang sedang berjuang bermatian-matian memerangi serangan Covid-19.
Ini kerana pada tahun ini, Malaysia sudah genap 64 tahun mencapai kemerdekaan. Jika negara kita ini merupakan seorang manusia, maka pada umur tersebut ia sudah pun berstatus warga emas.
Di negara ini, berdasarkan takrifan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, istilah ‘warga emas’ adalah merujuk kepada individu yang berusia 60 tahun ke atas.
Pada usia ini, tanggapan klise dan salah terhadap golongan warga emas adalah biasanya mereka dianggap sepatutnya sudah tidak lagi aktif dan perlu berehat sahaja di rumah, serta tidak lagi perlu menyumbang kepada pembangunan sahsiah diri dan masyarakat sekeliling.
Sedangkan apa yang sepatutnya adalah biarpun sudah menjadi warga emas, itu bukan penghalang buat mereka untuk terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti, agar dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa.
Sikap positif yang seharusnya ada dalam diri setiap warga emas itulah yang seharusnya merujuk kepada usia negara kita ini.
Ini kerana semakin bertambah usia kemerdekaan yang dicapai, maka Malaysia seharusnya bukan menjadi semakin lemah tetapi perlu bertambah kuat dan kental.
Benteng kekuatan negara
Namun pelbagai cabaran dan kemelut yang dialami Malaysia sejak akhir-akhir ini impak pandemik Covid-19, ternyata memberi kesan terhadap benteng kekuatan negara khususnya dalam sektor kesihatan, politik dan ekonomi.
Realiti yang dihadapi negara ketika ini jelas terserlah apabila tema Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021 masih dikekalkan sebagaimana sambutan kebangsaan pada tahun lepas.

Kali ini, sambutan Hari Kebangsaan juga akan disambut dalam suasana yang sederhana disebabkan negara masih berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebelum ini telah mengumumkan tema dan logo yang dipilih pada tahun ini kekal sepertimana tahun 2020 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September depan.
Logo pula adalah berbentuk hati dengan warna Jalur Gemilang yang melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, pemilihan warna dan logo sudah pasti mengambil inspirasi daripada warna jalur gemilang iaitu kuning, merah, biru dan putih dalam rekabentuk logo.
Rasional pemilihan tema adalah selari dengan keadaan semasa negara yang memerangi pandemik Covid-19 ketika ini.
Istilah ‘Malaysia’ menggambarkan seluruh rakyat Malaysia turut sama memerangi Covid-19. ‘Prihatin’ pula istilah yang merujuk kepada inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
Reka bentuk hati yang digunakan pada logo juga merupakan kali yang keenam digunakan selepas 1994, 1997, 2015, 2016 dan 2020. Warna yang digunakan pula adalah mengambil inspirasi daripada warna jalur gemilang iaitu merah, kuning, biru dan putih.
Pemilihan reka bentuk ini sesuai dengan suasana negara yang masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19. Rekabentuk logo yang berbentuk hati ini juga melambangkan pelbagai kaum di Malaysia.
Warna biru tua pula menggambarkan kesatuan hati rakyat negara ini yang berbilang kaum hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Bulan Sabit pula merujuk kepada Islam sebagai agama Persekutuan, manakala bintang pecah 14 pula melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.
Sementara 7 jalur merah putih berbentuk hati adalah simbol terjalinnya keberanian dan ketersediaan dalam menghadapi segala rintangan dengan keikhlasan dan kesungguhan.
Stigma bunga raya ditampilkan sebagai simbol yang mewakili usaha untuk membawa negara menuju ke mercu kejayaan.
Sementara, 5 titik merah pula sebagai simbolik kepada 5 kelopak bunga raya yang menggambarkan 5 prinsip Rukun Negara yang menjadi kunci perpaduan yang berbilang bangsa.
Kerajaan baharu
Sehubungan itu jelas sekali, sudah dua tahun sambutan kemerdekaan negara diraikan dalam negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
Justeru pada usia 64 tahun, perjuangan Malaysia masih sama seperti ketika berumur 63 tahun pada tahun lepas iaitu memerdekakan negara ini daripada ‘penjajahan’ pandemik Covid-19.
Cuma bezanya kali ini, sambutan kemerdekaan adalah ketika negara baru sahaja beberapa hari berada di bawah kepimpinan kerajaan baharu diketuai Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, setiap kali negara menyambut kemerdekaan isunya masih sama iaitu apakah erti kemerdekaan yang tersemat dalam pemikiran rakyat khususnya, generasi muda?
Adakah cukup sekadar melihat negara sudah 64 tahun bebas dari belenggu penjajah?
Sebenarnya, cabaran dan perjuangan berterusan untuk negara ini membebaskan diri dari cengkaman belenggu Covid-19 menyedarkan kita semua akan erti kemerdekaan yang sebenar.
Sudah tentu ia perlu membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini yang perlu dipupuk menerusi pembinaan jati diri, dibentuk melalui empat aspek utama iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.
Agar diri tidak mudah dipengaruhi ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.
Dan kali ini sudah pasti, ia akan ada kaitan dengan kerajaan baharu yang baru dibentuk pada hari ini.
Pelbagai komen dan pandangan termasuk yang negatif tentang kerajaan baharu itu pasti akan riuh kedengaran melalui pelbagai cabang media sosial.

Justeru, hal berkenaan akan menyediakan medan cabaran buat rakyat untuk membuktikan sahsiah diri masing-masing adakah mereka sudah merdeka dari segi jiwa dan minda sempena 64 tahun kemerdekaan negara kali ini. Tepuk dada tanya iman. – HARAKAHDAILY 27/8/2021











