Lebih RM724,000 bantu sektor pelancongan di Kelantan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Bagi memastikan industri pelancongan terus bertahan kerajaan negeri menyalur beberapa bantuan kepada pemain sektor terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, lebih RM724,000 disalur kepada pihak pihak terbabit termasuk hotel, bot pelancong dan pemandu pelancong.

Katanya, bagi hotel yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Kelantan menerima bantuan sanitasi.

- Advertisement -

Manakala wang tunai sebanyak RM1,000 diagih kepada agensi pelancongan, penggiat seni, pemandu beca dan sebagainya.

“Selain sumbangan kerajaan negeri, kita juga menerima bantuan daripada kerajaan pusat bagi meringankan beban penggiat sektor terbabit,” katanya menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi memaju dan melonjakkan kembali industri pelancongan, kerajaan negeri menerusi gelembung pelancongan membuat pelbagai promosi termasuk secara virtual.

Menurutnya juga berdasar data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, industri pelancongan di Kelantan mengalami kerugian sebanyak RM2.6 bilion tahun lalu.

Kata beliau situasi itu berlaku berikutan penyusutan pelancong lebih 2.5 juta disebabkan pendemik Covid-19.

Katanya, Covid-19 menyebabkan kekurangan pelancong datang ke negeri itu sehingga memberi impak yang besar kepada industri terbabit.

Malah beliau berkata, Motac menganggarkan sektor pelancongan di Malaysia mengalami kerugian sebanyak 45 bilion tahun lalu. – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -