
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
ARAU: Keluarga asnaf Mohd Hafizal Riduan dan isterinya Nor Shamila Saad sebelum ini tinggal di rumah usang di Kampung Sungai Bugis, dekat sini.
Di rumah itulah menjadi tempat mereka berlindung daripada panas dan hujan biarpun enam mereka yang masih kecil terpaksa berhimpit-himpit tinggal di rumah kecil dan usang.
Bagaimanapun hasil bantuan Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), kini mereka memiliki rumah baharu di tanah milik keluarga isterinya di Kampung Tanjung Gelam.
Selain itu mereka juga dibantu Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis bagi membesar sedikit rumahnya, di samping membeli perabot rumah untuk mereka.
Ketuanya Ustazah Latifah Mat berkata, pihaknya menyumbang RM7,000 kepada keluarga asnaf terbabit untuk menampung kos penambahan ruang rumahnya dan menyediakan perabot.
Katanya beliau bersyukur kerana projek pembinaan rumah berkenaan berjaya disiapkan setelah tertangguh lebih setahun.
“Alhamdulillah, akhirnya mereka dapat memiliki sebuah rumah yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Kami juga merakam ucapan terima kasih atas keprihatinan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia yang turut sama menyalurkan sumbangan kewangan,” katanya ketika melawat keluarga berkenaan baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Perlis, Nor Shahirah Salleh dan Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Arau, Nor Fatimah Ariffin.
Sementara itu Mohd Hafizal menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sumbangan kepada keluarganya. – HARAKAHDAILY 26/8/2021











