Warga pendidik hadapi cabaran berat

- Advertisement -

IPOH: Sultan Perak menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik yang menghadapi cabaran berat dalam perubahan landskap andragogi dan pedagogi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika penularan wabak Covid-19 sekarang.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah warga pendidikan merintis segala usaha untuk memastikan murid-murid yang diamanahkan tanggungjawab ke atas bahu mereka mendapat ilmu sebaik mungkin.

- Advertisement -

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-14 di Dewan Negeri Bangunan Darul Ridzuan semalam.

Baginda juga tidak ketinggalan merakam penghargaan petugas barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Titah baginda, petugas barisan hadapan memikul tanggungjawab berat luar jangka, menghadapi risiko jangkitan dan merupakan tanggungjawab yang tidak pernah terbayang.

“Doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu van jenazah dan penggali kubur serta pengurus rumah-rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab luar jangka,” titah baginda.

Menurut baginda juga risiko besar turut dihadapi penghantar makanan, petugas di kedai runcit, pasaraya, farmasi, pengendali pengangkutan awam, anggota pasukan keselamatan dan agensi berkaitan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting.

“Mereka melaksanakan tugas fardu kifayah yang wajib dihargai, semoga Allah SWT menganugerahkan khidmat dan pengorbanan mereka dengan sebesar-besar ganjaran,” titah baginda. – [Stratcom]

- Advertisement -