Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ tepat pada waktunya

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai satu tema yang menarik dan tepat pada waktunya dalam menghadapi krisis dialami negara ketika ini.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, konsep membina keluarga besar Malaysia bersama Perdana Menteri ke-9 itu adalah bertepatan ketika negara sedang menghadapi krisis politik dan kesihatan terutama impak pandemik Covid-19, serta gelora ekonomi yang sedang berlaku sekarang ini.

- Advertisement -

“Saya yakin bahawa tagline seumpama ini, bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa dan juga kaum bahkan pelbagai latar belakang politik untuk kita bekerjasama, berganding bahu, bersatu hati seumpama adik-beradik untuk kita bersepakat menyelesaikan apa sahaja permasalahan yang dihadapi negara kita. 

“Insya-Allah, kita mampu menunjukkan Malaysia baharu dan sejahtera,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook milik beliau baru-baru ini.

Terdahulu, Ismail Sabri menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa itu disifatkan lebih inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

Konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Beliau turut menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan untuk sama-sama menggembleng tenaga memulihkan semula keadaan negara dengan berfikiran terbuka dan dada yang menerima, serta mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -