
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan, hari ini.
Menurut Istana Negara dalam hantaran di laman Facebook, pada sesi menghadap yang berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula jam 11.00 pagi itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos lalu.
Tambah kenyataan itu, sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.
“Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu.
“Usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada YAB Perdana Menteri di Istana Abdulaziz,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 26/8/2021




















