Permit penjaja kecil makanan di Perak serendah RM5 sebulan

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

IPOH: Kerajaan Perak menunjukkan keprihatinan terhadap golongan peniaga dan penjaja kecil makanan di negeri itu dengan memberikan kelulusan bagi permit sementara serendah RM5 sebulan, untuk meneruskan aktiviti perniagaan dalam kesukaran yang dihadapi mereka sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan Perak melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersetuju melaksanakan langkah tersebut  bagi  tempoh sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun akan dilaksanakan dengan turut mengambil kira faktor keselamatan penjaja agar tidak menghalang kawasan lalu lintas dan mengakibatkan kacau ganggu di samping perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Strategi PBT Perak termasuklah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menempatkan semula penjaja kecil makanan yang beroperasi sepanjang tempoh PKP. Usaha ini akan dapat membantu penjaja tersebut meneruskan perniagaan dengan lebih tersusun dan teratur,” ujarnya pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak secara langsung melalui laman Facebook.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari di sini, hari ini.

Di samping itu dalam usaha mengelakkan penularan Covid-19, kata beliau, PBT turut menyediakan platform digital untuk memudahkan urusan penjaja dan peniaga kecil makanan di negeri itu memohon dan memperbaharui lesen perniagaan masing-masing.

Persidangan DUN Perak ke-14 itu yang bermula semalam, 25 Ogos 2021 akan berlangsung sehingga 28 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -