Tragedi kepala air Gunung Jerai bukan biasa-biasa

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
“Kejadian kepala air di Gunung Jerai bukan biasa-biasa tetapi tragedi yang agak besar dan juga melibatkan enam mangsa maut.

“Sebagaimana Allah rakamkan dalam surah Al-Insyirah, bahawa setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan dariNya,” kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

- Advertisement -

Beliau ditemui ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Titi Hayun, Yan hari ini. Sumbangan tersebut daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Wilayah Persekutuan.

Setiap rumah yang dikunjungi diberi sumbangan wang tunai sebanyak RM200 dan barangan keperluan harian.

Beliau juga diberi taklimat perkembangan tragedi 18 Ogos lalu di Bilik Gerakan Masjid Wusto, Guar Chempedak disampaikan Ustaz Muaz Othman.

Nuridah juga berkata, bencana yang menimpa daerah Yan bukan musibah biasa, sebaliknya melibatkan banyak kerosakan dan kemalangan jiwa.

“Allah menurunkan musibahnya tanpa mengira tempat sama ada laut, bukit dan gunung ganang. Namun setiap musibah yang Allah turunkan ada kemudahan yang dijanjikan-Nya,” ujar beliau.

Beliau juga berharap ahli dan penyokong PAS di Yan memberi perkhidmatan terbaik bagi membantu mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai.

“Ahli-ahli PAS hendaklah memberi khidmat dengan menghulur sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan untuk meringan beban mangsa yang terlibat,” ujarnya.

Nuridah sebelum ini memiliki pengalaman ketika misi kemanusiaan di Palu, Indonesia. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -