
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta susulan paip pecah kali kedua di dasar Sungai Terengganu.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa amat dukacita dengan kejadian itu yang menjejaskan bekalan air kepada rakyat di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
“Kejadian kali ini berlaku pada lokasi yang berbeza daripada yang sebelum ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Jawatankuasa Siasatan masih membuat siasatan untuk kes pertama yang lalu dan beliau mengarahkan agar terma siasatan dipanjangkan untuk kes yang kedua bagi merencanakan tindakan jangka masa panjang.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, pembinaan paip di dasar sungai berkenaan telah dibina pada tahun 2003 dan mula digunakan pada tahun 2006,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi penyelesaian sementara bekalan air dipulihkan, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI).
Oleh itu, ujarnya kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada SATU sebanyak RM1.04 juta kepada semua 104 JPKK yang terlibat bagi tujuan penyampaian bekalan air harian kepada semua 29,151 akaun pengguna.
Tambahnya, bantuan itu akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras .
Di samping, kata beliau kerajaan negeri menyediakan bantuan CSR daripada SATU sebanyak RM500,000 untuk pengurusan, logistik dan bekalan berkaitan di semua kawasan yang terlibat.
Menurutnya lagi, bantuan itu juga akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras mengikut jumlah penduduk dan pengguna di setiap kawasan.
Beliau menambah, selain itu kerajaan negeri membekalkan air minuman dalam kotak berjumlah RM1.25 juta kepada semua rumah terlibat.
Kerajaan negeri juga, ujarnya memastikan bekalan air bersih akan dihantar dengan kekerapan yang sesuai bagi memastikan mereka dapat menikmati bekalan air bersih sehingga kejadian itu dapat diselesaikan.
“Sama-samalah kita doakan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan urusan harian mereka yang terlibat dipermudahkan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/8/2021




















