Kecekapan SAP dapat pujian di sidang Dun Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Tindakan pantas Syarikat Air Perlis (SAP) menangani masalah bekalan air yang sering berlaku di Dun Sanglang turut diketengahkan pada persidangan Dun Perlis hari ini.

Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli berkata, SAP bertindak segera menangani masalah tersebut ketika musim kemarau baru-baru ini.

“SAP cepat bertindak dengan meningkatkan tekanan air di kawasan yang sering terjejas dengan gangguan bekalan air.

- Advertisement -

“Selain itu mereka (SAP) juga meletakkan tong-tong air di semua rumah penduduk yang terjejas sehingga melegakan mereka.

“SAP juga diharap dapat menyelesaikan masalah itu bagi tempoh jangka panjang dengan meningkatkan tekanan air di kampung yang terjejas sebelum ini,” katanya.

Penduduk di sekitar Dun Sanglang sering menghadapi masalah bekalan air setiap kali tiba musim kemarau, yang berlaku sekitar Mac akibat tekanan air rendah.

Antara kampung terlibat iaitu Kampung Padang Keria, Kampung Permatang Limau Manis, Kampung Padang Gelam dan Kampung Permatang Pianggu.

Pada ucapan yang sama Mohd Shukri menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan yang membantu penduduk Sanglang ketika kejadian ribut Mei lepas.

Pada kejadian tersebut sebanyak 24 rumah penduduk rosak terutamanya di bahagian atap dan dinding.

“Program vaksinasi yang diadakan di masjid oleh kerajaan negeri juga memudahkan penduduk kampung mendapatkan suntikan tanpa perlu pergi ke pusat pemberian vaksin,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -