Dun Kelantan lulus RUU Mineral 2021

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Mineral (Pindaan) 2021 bagi menjelaskan lagi maksud ‘bahan batuan’ di bawah Subseksyen 2(1).

Pindaan itu membabitkan penambahan perkataan selepas ‘cengkerang’ dengan perkataan ‘mangan, bijih besi, batuan silika, batu arang, barit, batu kapur, batu dimensi dan batu separa permata’.

Cadangan pindaan itu dibentangkan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Pindaan terbabit kemudian disokong Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

- Advertisement -

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Kewangan berkata, pindaan itu bagi mengkelaskan semua bahan batuan tersebut yang dimaksudkan sebagai bahan mineral di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

“Selepas pindaan ini diluluskan bahan mineral ini dikeluarkan dari senarai fi dan bayaran di bawah butiran 12, Jadual Pertama Peraturan-peraturan Mineral 2003.

“Fi dan bayaran bagi bahan mineral jenis batuan ini, seterusnya dimasukkan di bawah butiran 59 kaedah 21, Kaedah-Kaedah Tanah Kelantan 1966 dengan menetapkan jumlah royalti yang sama atau lain-lain kadar bayaran yang difikirkan sesuai oleh Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.

Pindaan itu dilulus selepas ia mendapat sokongan sebulat suara 45 Adun. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -